Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

20 Januari 2011

Sultan Selangor perkenan Sidang Dun pinda Perlembagaan Negeri


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memperkenan cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri pada 24 Januari ini bagi tujuan meminda perlembagaan negeri itu.

Khalid berkata, semasa perjumpaan dengan Sultan Sharifuddin awal pagi tadi, beliau telah mempersembahkan Rang Undang-Undang bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio di Selangor.

“Kerajaan Negeri menyembah ucapan terima kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana telah memberi perkenan untuk diadakan sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.


“Kami menghargai keprihatinan DYMM Sultan kepada usaha Kerajaan untuk mengembalikan kuasa Negeri dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio iaitu: Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan

Pegawai Kewangan Negeri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Khalid pindaan yang dilakukan kerajaan Selangor berhubung Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal yang baru.
Fasal itu berbunyi “Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha

Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.” jelas Fasal berkenaan.
Khalid berkata pindaan itu bagi mengembalikan semula prosedur untuk pelantikan tiga penjawat awam itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ia dipinda pada 1993.

“Rang undang-undang ini kita hebahkan kepada orang ramai supaya ianya dapat dibincang dan dikupas secara sihat dan professional sebelum ia dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dibentangkan. Ini selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.


KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...