Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

20 Januari 2011

Khir Toyo beri projek RM273 juta kepada Pengarah Ditamas


Mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Khir Toyo telah memberikan projek bernilai lebih RM244 juta secara runding terus termasuk beberapa lagi projek bernilai RM29 juta kepada syarikat milik Pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni iaitu individu yang dikaitkan dengan kes rasuah beliau.

Pendedahan mengejutkan itu, yang dibuat oleh Setiausaha Menteri Besar Selangor Faekah Husin membabitkan lima projek yang diserahkan kepada Majulia Sdn Bhd syarikat kepunyaan Shamsuddin.

Antara lain projek itu diserahkan kepada Majulia Sdn Bhd untuk pembinaan kuarters kakitangan kerajaan di Seksyen 16 Fasa 1 dan Fasa 2 dengan nilai RM83 juta. Ia juga turut melibatkan pembinaan perpustakaan Selangor bernilai RM71 juta dan pembinaan sebatang jalan di Sepang bernilai RM73 juta.


Sebuah lagi projek membabitkan pembinaan sebuah stadium terbuka, pencawang elektrik, dua kebuk dan satu unit loji kumbahan di atas tanah kerajaan yang terletak di mukim Dengkil berharga RM14 juta. Sementara dua lagi syarikat milik Shamsuddin iaitu Gethrahome Sdn Bhd dan Kanasutra Sdn BHd diberikan projek secara penswastaan.

Getrahome mendapat projek pembangunan perumahan dan perniagaan di Dengkil Sepang dengan nilai RM61 juta manakala Kanasutra juga mendapat projek yang sama, juga di Dengkil bernilai RM14 juta.

Bagaimanapun mesyuarat exco pada masa itu telah membatalkan dan menarik balik projek yang diberikan kepada Kanasutra pada 27 Januari 2010.

Menurut Faekah, pendedahan ini dilakukan bagi memastikan kerajaan Selangor dan kakitangan awam yang lainnya tidak dikaitkan dalam perbicaraan Khir Toyo.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Disember 2010 membuat keputusan supaya maklumat tentang jenis projek dan nilai projek yang diberikan kepada syarikat milik Shamsuddin Hayroni didedahkan untuk pengetahuan umum.

“Ini juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didokong oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi,” Tegas Faekah.

Mneurutnya lagi, kerajaan negeri berpendapat maklumat yang diberikan ini dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Khir Toyo dan Shamsuddin Haryoni, yang merupakan pengarah Ditamas Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam Disember lalu berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.


Keadilan Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...