Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

29 Januari 2011

Laporan CNN: Najib Jaga Tepi Kain Anwar, Kata Pemimpin PKR


Pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan saluran diplomatik untuk “kepentingan peribadi” dengan meminta kerajaan Arab Saudi menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembiayaan pilihan raya.

Sedangkan, Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan enggan menyiasat aliran keluar wang haram yang didakwa mencecah RM888 bilion, yang lebih “mencemaskan”, kata pengarah strategi PKR Rafizi Ramli.

Rafizi berkata PKR sangat mual dengan tingkah laku Najib yang dilaporkan menekan kerajaan Saudi untuk menyiasat tuduhan bahawa Anwar dibiayai tokoh-tokoh Saudi.

“. . . sedangkan sehingga sekarang PM masih membisu apabila berdepan dengan desakan pelbagai pihak supaya siasatan lanjut dibuat mengenai aliran keluar wang haram RM888 billion antara tahun 2000 dan 2008 seperti dilaporkan GFI,” kata Rafizi yang juga ketua eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.


Dalam ulasannya pagi tadi, Anwar yang juga Anwar merupakan Penasihat Ekonomi Selangor mendakwa laporan CNN menyerlahkan “ketakutan dan rekayasa” Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Anwar juga berkata beliau tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri yang juga presiden Umno sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmahnya.

Laporan CNN itu muncul ketika tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang dan di tengah-tengah spekulasi negara bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-13.

Dakwaan itu dilihat sebagai yang paling keras daripada Najib ke atas Anwar sejak menjadi perdana menteri keenam pada April 2009.

Satu laporan risikan Saudi berkata tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat, tetapi mengesan sebuah pertubuhan fundamentalis Islam yang ada hubungan dengan pemimpin pembangkang telah memanfaatkan rangkaian Al-Qaeda menerusi sokongan ahli-ahli politik negara-negara Islam.

CNN juga menamakan satu siasatan sulit telah dijalankan ekoran aduan Najib bahawa Saudi membiayai Anwar menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah rangkaian itu juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia telah mengesyaki dua pegawai kanan kerabat diraja Saudi terlibat dalam pembiayaan kepada Anwar dan ini menyebabkan Riyadh memulakan siasatan sulit.

Laporan siasatan itu memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan pegawai-pegawai Saudi terlibat menyokong Anwar, yang bulan lalu digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.

Sebelum ini Anwar dilabelkan oleh Umno sebagai ejen Yahudi.

“Dakwaan sokongan daripada keluarga raja Saudi yang dinamakan dalam laporan awal didapati tidak berasas,” kata laporan CNN lagi.

“Laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiyai saya untuk pilihan raya umum yang akan datang,” kata Anwar lagi.

Rafizi berkata Umno-BN taksub dengan jalan memfitnah dan menekan lawan sebagai satu-satunya cara berdepan dengan cabaran politik dari Pakatan Rakyat.

“Apabila dijemput berdebat mengenai Buku Jingga, Perdana Menteri menghamburkan serangan peribadi.

“Di kala kebimbangan rakyat mengenai kemampuannya menghidupkan semula pelaburan swasta dan mencegah aliran wang haram sebanyak RM98 billion setahun memuncak, Perdana Menteri nampaknya lebih sibuk menyalahgunakan saluran diplomatik untuk menjaga tepi kain Ketua Pembangkang,” katanya.

Rafizi menambah, laporan GFI sememangnya perlu diberi perhatian berat kerana kaedah dan data yang digunakan adalah benar dan diterima pakai di seluruh dunia.

“Kaedahnya adalah berdasarkan model Bank Dunia yang merujuk kepada perubahan dalam hutang luar negara untuk menentukan ketirisan wang dan modal yang tidak dilaporkan mengikut undang-undang.

“Ketirisan wang dan modal ini disembunyikan daripada pihak berkuasa kerana ia selalunya bersabit sumber rasuah, kecurian dan pengelakan cukai,” katanya.

Rafizi juga berkata model itu diterima pakai di seluruh dunia, maka kenyataan seorang Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir yang mempersoalkan kesahihan model itu menunjukkan kedangkalan beliau sendiri.

“Datanya pula adalah data rasmi yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dari semasa ke semasa.

“Oleh sebab itu, sepatutnya seorang Menteri Kewangan tidak akan tidur malam dengan pendedahan GFI itu, apatah lagi apabila statistik rasmi Bank Negara Malaysia sendiri menunjukkan angka negatif besar 'kesilapan dan ketinggalan' dalam Imbangan Pembayaran negara yang telah berlanjutan sejak tahun 2005,” katanya lagi.

Kata beliau, statistik 'kesilapan dan ketinggalan' dalam Imbangan Pembayaran negara merujuk kepada angka pengimbang bagi mengambil kira anggaran statistik dan laporan aliran wang keluar masuk yang tidak dilaporkan sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia.

Justeru kata Rafizi, adalah lebih baik sekiranya Najib menumpukan tenaganya memperbetulkan ekonomi negara dengan berbelanja secara berhemah dan bertindak segera ke atas pendedahan yang dibuat GFI.

Katanya, Najib tidak harus menghabiskan wang negara untuk mengunjungi negara-negara asing dan menyalahgunakan saluran diplomatik untuk menjaga tepi kain Pakatan Rakyat dan Anwar.

“Akhirnya, fitnah Umno-BN bahawa Pakatan Rakyat menggunakan saluran antarabangsa demi kepentingan politik tidak ubah seperti meludah ke langit terkena muka sendiri; apabila Presiden Umno-BN sendiri yang sibuk memohon simpati dan bantuan antarabangsa untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar,” katanya.-Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...