Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

28 Januari 2011

Bahaya Pembaziran Rosmah


Rashidi Hassan
TATKALA kedudukan ekonomi Malaysia yang berada dalam keadaan yang tidak stabil, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dikatakan membuat perbelanjaan yang besar semasa mengunjungi negara-negara Arab baru-baru ini.

Kunjungan Rosmah ke negara terbabit, mendapat respon yang amat negatif dari kalangan rakyat.

Negatif kerana rakyat terkejut dengan dakwaan perbelanjaan yang amat besar oleh isteri Perdana Menteri.

Rakyat juga mempersoalkan apakah kewajarannya Rosmah mengunjungi negara-negara terbabit, kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pemerintahan sendiri, ada kerajaan dan ada menteri yang bertugas pada bidang-bidang yang telah dikhususnya.

Sehingga ada kalangan rakyat mempertikaikan, apakah peranan Rosmah sebenarnya. Isteri PM atau orang politik yang berjawatan Menteri, atau punyai jawatan yang lebih tinggi daripada itu.


Sehingga dilaporkan dalam media internet, Rosmah menginap di sebuah bilik mewah (suite) yang harganya mencecah UDS35,000 atau menyamai RM106,000 semalam.

Jika benar begitu, ianya merupakan suatu perbelanjaan yang amat boros. Jika perbelanjaan beliau menggunakan peruntukan dari kerajaan, rakyat mahu mengetahui apakah beliau layak menerima peruntukan sebesar itu?

Jika penginapan itu ditaja, rakyat harus dibekalkan jawapan secara jujur, siapa yang menaja dan mengapa beliau ditaja

Namun Rosmah mendakwa lawatannya ke luar negara adalah di atas jemputan, mewakili rakyat Malaysia dan apa yang beliau lakukan adalah untuk faedah rakyat dari semua kaum, agama dan parti.

Kepada pengkritik beliau, Rosmah berkata: "Bagi saya, jika mereka mahu bersungut, saya tidak ada isu. Biarkan saja. Saya hanya lakukan ini sebagai isteri seorang pemimpin.

"Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya untuk membantu setakat yang saya mampu, terutama yang berhubung usaha untuk memperkasakan wanita dan isu-isu kanak-kanak."

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya tidak terbabit dengan polisi kerajaan - yang telah dijalankan oleh perdana Menteri, timbalan perdana menteri dan kabinet.

"Kita hanya membantu dari segi masa dan usaha dan (demi) kepentingan kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik, jadi apa masalahnya."

Itu kata Rosmah. Namun, ada satu soalan yang tertanya-tanya dalam benak fikiran rakyat, yang masih belum terunkai.

Iaitu, adakah apa yang dilakukan oleh sekarang ini, juga dilakukan oleh isteri bekas-bekas PM semasa mereka memerintah?

Cerita-cerita mengenai dominasi Rosmah dalam pemerintahan negara bukannya benda baru. Persepsi negatif ke atas beliau timbul apabila banyak laporan dan juga secara berfakta dikemukakan.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, suatu program yang diketuai oleh isteri PM diberi peruntukan ratusan juta, sebagaimana yang diterima Rosmah untuk projek Permata beliau.

Hal ini dipertikaikan rakyat, kerana negara sudah mempunyai Kementerian Pembangunan Wanita dan keluarga, kerajaan mempunyai Kemas, Tabika Perpaduan, pra-Sekolah di bawah Kementerian Pelajaran. Untuk apa lagi diwujudkan suatu program atau sistem baru yang memainkan peranan yang sama?

Rakyat bertanya mengapa tidak diperkemas dan diperkukuhkan atau dilakukan penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada?

Dalam perkara lain, Rosmah juga dilaporkan membuat perbelanjaan yang besar, dalam istilah lain disebut shopping (membeli belah) yang nilai yang amat besar sewaktu berkunjung ke luar negara.

Mungkin juga beliau menggunakan wang sendiri, namun selaku isteri seorang PM, beliau harus sedar bahawa beliau juga punyai tanggungjawab kepada masyarakat.

Beliau harus sedar bahawa rakyat semakin terhimpit dengan krisis ekonomi, kenaikan harga barangan mendadak, semakin ramai dihimpit kemiskinan dan tidak mempunyai wang untuk makan dan belanja sekolah anak.

Selaku isteri PM Rosmah harus sedar, bahawa segala gerak lakunya diperhati dan dinilai oleh masyarakat. Ramai rakyat di luar sana yang memerhati dan mengetahui stail Rosmah.

Beliau ada hak untuk menafikan sebarang dakwaan terhadapnya, namun yang penting sekali, Rosmah harus mengelak daripada timbulnya sebarang fitnah ke atas beliau yang akan terpalit kepada PM sendiri.

Rosmah mendakwa beliau tidak mencampuri urusan politik, tetapi mengapa beliau anjurkan program sidang wanita pertama yang menelan belanja jutaan ringgit.

Rakyat mengetahui dengan jelas, terlalu sedikit isteri PM atau Presiden luar yang hadir.

Jelas, program sebegini besar tidak mendapat sambutan kerana ia tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Justeru, apakah Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mahupun Rosmah sedar bahawa, persidangan tersebut tidak membawa apa-apa hasilnya kepada negara? Malah ianya hanya membazirkan wang rakyat.

Justeru, Najib dan Rosmah harus sedar bahawa tingkah laku mereka menjadi ukuran dan penilaian rakyat kerana mereka adalah pemimpin dan isteri pemimpin.

Mereka juga harus sedar bahawa antara sebab Presiden Tunisia, Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan adalah kerana pembaziran yang dilakukan oleh isteri beliau Leila Trabelsi.

Leila digelar 'Imelda Marcos', melarikan diri dengan jongkong emas yang nilainya terlalu tinggi.

Rosmah harus muhasabah diri, usah jadi seperti Imelda, usah jadi seperti Leila.

Rakyat Malaysia umumnya mereka yang sangat baik dan berdisiplin. Belum pernah mereka menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

Tetapi apa yang pasti, mereka akan menumbangkan Kerajaan Umno-BN pimpinan Najib dan Rosmah menerusi Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...