Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

29 Jun 2010

Ulama Muda - Umno Pembohong.


Empat ulama muda nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Salah seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, (gambar) dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini malam tadi.

“Kami dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.

“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap pada majlis itu.

Hosni menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu.

Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian Master di sebuah universiti tempatan.

Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat kesal dengan kejadian menipu oleh Umno kerana masyarakat telah memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Mengulas kejadian itu, Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa sambil menegaskan PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.


harakahdaily



+ Umno terpaksa melakukan  penipuan hanyalah untuk mengekalkan kuasa dan maruahnya yang makin hilang sokongan melayu/muslim. Mereka gunakan ulama supaya orang-orang melayu kembali menyokongnya. Tapi semuanya donggeng dan sandiwara semata-mata. Ulama yang dijemput untuk  kepentingan politik bukan untuk kebaikan agama dan pentadbiran yang berlandaskan hukum..

28 Jun 2010

Guan Eng - Perjudian Bukan Amalam Mayarakat Cina, Sebaliknya Kesukaan Pemimpin BN.


Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan lesen judi bola membuktikan apa yang diputuskan oleh Pulau Pinang betul apabila mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengeluarkan lesen premis judi itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) berkata, keputusan kerajaan negeri jelas menjaga nama baik negara sebagai ‘negara Islam’ yang dilaungkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) walaupun mendapat kritikan hebat kepimpinan BN termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun selain kritikan, beliau juga menerima pujian daripada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat serta sebahagian daripada komponen BN yang tidak sebulu dengan kenyataan Mahathir yang mendakwa masyarakat Cina suka berjudi.

"Sah apa yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang benar apabila mengarahkan semua PBT tidak keluarkan lesen premis judi dan sesuai sebagai langkah menentang sebarang bentuk perjudian yang merugikan masyarakat," ujarnya di Dewan Audiotorium F, Aras 5, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) ketika meraikan rombongan Pasti Negeri Sembilan petang semalam.

Perjudian, kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih bukan amalan masyarakat Cina sebaliknya kesukaan pemimpin BN kerana hasil perjudian boleh diambil untuk membina negara.

Menurutnya, langkah drastik beliau mengarahkan semua PBT di Pulau Pinang pada mulanya menimbulkan keraguan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya PAS.

"Pemimpin PAS ada yang terkejut dan menghubungi saya beberapa kali untuk mendapatkan kesahihan betulkan apa yang saya dah buat. Saya kata memang betul kerana judi merupakan amalan yang tidak baik dan merosakan kebahagiaan sesebuah keluarga serta negara," tambahnya.

Katanya, ramai yang terkejut kerana kerajaan pimpinan DAP sanggup melakukan tindakan yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Rombongan Pasti Negeri Sembilan seramai 90 orang itu diketuai oleh pengarahnya, Ustaz Nazri Zainuddin. Turut mengiringi rombongan ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan Penyelaras Dun Sungai Dua, Fahmi Abdul Wahab.



harakahdaily

Zaid - Kepincangan Felda Akan Terjawab.


Tindakan saman terhadap pemimpin Pakatan Rakyat berikutan pendedahan akhbar Suara Keadilan terhadap masalah kewangan Felda, hanya akan mendedahkan kepincangan sebenar kedudukan kewangan Felda.

Demikian kata Ahli Majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim (gambar) yang yakin mahkamah bakal menjadi medan pendedahan bagi merungkai permasalahan warga Felda.

Mengikut laporan media, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mempertikai laporan bertajuk `FELDA BANGKRAP’ dalam keluaran Bil 237 bertarikh 21 hingga 29 Jun 2010.

Beliau bercadang memfail saman terhadap Zaid; Pengerusi Biro Felda PKR Pahang, Suhaimi Said dan Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut dan Suara Keadilan.

"Ini merupakan penyakit baru di Malaysia, saman 200 juta, 300 juta. Kita boleh tulis apa yang kita nak. Mahkamah hanya suruh bayar ganti rugi berdasarkan bukti kita.

"Apa sebenarnya yang kita rugi dengan pendedahan itu. Ini hanya taktik politik nak menakutkan kita lah. Tapi kita tak bimbang soal 100 juta, 200 juta yang mustahaknya rakyat tahu apa yang berlaku.

"Seperti saya kata hari tu, kalau kes ini dibawa ke mahkamah kita ada peluang untuk membicarakan nasib Felda sebenarnya," kata Zaid.- TVS

25 Jun 2010

Lim Guan Eng - Rais Yatim Bukan Pakar Dalam Budaya Cina


 DAP membidas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengatakan pertubuhan Cina menyokong lesen judi bola sepak yang diluluskan atas alasan judi adalah budaya masyarakat Cina.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata beliau terkejut dengan kenyataan Rais yang menganggap dirinya seorang pakar dalam hal ehwal Cina yang menyatakan adalah perlu menghalalkan judi bola demi menghormati dan mengiktiraf hak kaum Cina dan India.
"Saya ingin bertanya dengan beliau, pertubuhan Cina yang mana telah memohon kepada kerajaan pusat untuk menghalalkan judi bola.
"Sebelum kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi bola baru-baru ini, pertubuhan atau siapa yang telah memohon lesen judi bola," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Menurut Guan Eng setahu beliau tidak ada sebarang pertubuhan Cina meminta judi bola ini dihalalkan sebagai tanda hak mereka dihormati dan diiktiraf.
"Saya ingin menekankan di sini apa yang diminta oleh masyarakat Cina adalah sama seperti permintaan kaum yang lain di Malaysia iaitu berteraskan prinsip 5K iaitu Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan kepada rakyat dan Ketakwaan kepada Tuhan.
"Bukan seperti apa yang pemimpin Umno cakap bahawa hanya berkisarkan atas judi sahaja, nampaknya Umno lebih berminat dengan judi berbanding daripada orang lain," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Guan Eng juga meminta kerajaan Umno-BN tidak memecah-belahkan rakyat dengan isu judi ini sambil menegaskan Pakatan Rakyat berpendirian untuk mengurang dan mengawal lesen judi yang berleluasa pada masa ini.
Dalam pada itu, beliau mencabar menteri tersebut menamakan pertubuhan Cina yang mana telah memohon judi bola sebelum kerajaan membuat keputusan berhubung lesen judi bola sepak yang diberikan kepada Ascot Sports Sdn Bhd oleh Kementerian Kewangan sebelum ini.- SK

Ceramah Ezam Kotak Cuma, 300 Orang Yang Datang


KUANTAN, 24 Jun - Baru-baru ini, satu Kuantan dihebohkan dengan berita kehadiran "Raja Sesumpah" iaitu "Petualang Rakyat" si Ezam Md Noor. Apa tidaknya, poster dan banner kehadiran "Yang Berhormat Senator" itu telah diletakkan di merata tempat, hingga orang ramai di sini terkejut dan teruja untuk menanti kehadiran beliau itu. Ezam dikatakan akan hadir ke satu Ceramah Umum di Dewan Serbaguna Balok dekat sini bersama "musuh ketatnya dulu iaitu Lokman Noor Adam" untuk "membongkar rahsia" jika dilihat kepada tulisan yang tertera di kain rentang itu. Maka, rakyat dari pelbagai kaum sibuk memperkatakan tentang kehadiran Mamat Ezam itu. Masing-masing tertanya-tanya apakah rahsia yang ingin dibongkarkan oleh Ezam agaknya. Apakah beliau akan mendedahkan "kotak-kotak rahsia" yang disimpannya selama ini. Atau beliau mahu membeli kotak-kotak kosong daripada orang ramai untuk diisikan dengan fail-fail rasuah pemimpin UMNO BN. Maka, tarikh yang dinantikan pun tiba iaitu tanggal 16 Jun 2010. Krew kami telah pergi meninjau ke lokasi yang dinyatakan. Berdasarkan kepada promosi besar-besaran yang dilakukan, kami menjangkakan ceramah umum Ezam itu akan dihadiri oleh puluhan ribu rakyat. Tambahan pula beliau baru sahaja bergelar "Yang Berhormat" selepas mendapat anugera "Senator Cap Ayam" dengan izin yang dberikan oleh Najib Razak itu. Sangkaan kami jauh sekali meleset, sungguh menakjubkan apabila Ezam yang suatu ketika dulu dikatakan jelmaan Anwar yang berjaya menghimpun ribuan rakyat untuk mendengar ceramahnya kini sudah "tidak laku lagi". Hanya ada sekitar 200 hingga 300 orang sahaja yang hadir untuk mendengar "kelentong sesumpah" ini. Itu pun terdiri dari kalangan pemuda UMNO yang dikerahkan hadir selepas Ezam menjengok program mereka sebelah petang itu. Tidak langsung kelihatan peniaga gerai ditepi jalan seperti kebiasaannya.


                                    Inilah dia antara kain rentang promosi ceramah si Ezam itu

Malah, orang ramai juga disediakan dengan makanan secukupnya oleh pihak penganjur. Maka Ezam dan Lokman pun berkokoklah mendedahkan satu persatu "rahsia Anwar" yang mereka simpan sejak sekian lama. Anehnya, Lokman tidak pula mendedahkan "rahsia Ezam" ketika dia dipecat dari UMNO dulu. Nyata, Lokman sedikit pun tidak mendedahkan rahsia "pecah amanah Ezam terhadap duit AMK Keadilan" seperti yang dilakukan pada tahun 2004 di Masjid Negara dulu. Lokman juga tidak mencabar Ezam menjawab segala pendedahan yang dilakukan terhadapnya dulu. Umum masih ingat Lokman dengan bangganya membuat sidang media di Masjid Negara dengan mencabar Ezam supaya bersumpah dia tidak menyelewengkan duit AMK ketika itu. Lokman juga menunjukkan bukti-bukti kukuh tentang penyelewengan tersebut. Namun kini mereka berdua menjadi "kamcing" semula selepas "menjual maruah dan harga diri" untuk kembali bersama UMNO. Segala bukti-bukti yang disimpan oleh Lokman tentang Ezam dirahsiakan pula. Apa yang didedahkan mereka ialah rahsia-rahsia lama yang dialunkan kembali untuk menyedapkan halwa telinga pendengar. Maka, terhiburlah juga orang ramai tatkala mendengar "lawak bodo" Ezam itu. Program berakhir lebih awal, kerana kedua-dua "mangkuk hayun" itu malu melihat kehadiran yang amat "mengerikan mata" mereka. Tahniah kepada Lokman dan Ezam kerana berjaya menjadi "badut sarkas" di Pentas Pemuda UMNO Indera Mahkota Kuantan baru-baru ini.






Sumpah Ezam sebelum dapat habuan, layakkah Ezam jadi pemimpin?
 
[Teringat zaman kegemilangan Ezam ketika bersama Keadilan dulu. Beliau dianggap hero yang akan mengantikan Anwar jika mantan TPM itu sudah tiada lagi didunia ini. Ceramahnya sering dihadiri oleh puluhan ribu rakyat, malah penampilan dan gayanya yang mirip Anwar itu menyebabkan beliau amat disenangi serta diterima oleh rakyat. Kelantangan dan ketegasannya mengeluarkan hujjah serta pandangan amat bernas sekali dan berjaya menakutkan kawan serta lawan. Ezam dianggap pemimpin era baru yang akan mewarnai iklim politik negara. Ramai yang masih ingat ketika beliau membuat sumpah keramat anak muda di Temerloh dulu. Ucapannya memukau anak muda dan menyemarakkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan. Namun, kini Ezam sudah tidak laku lagi. Ideanya sudah tidak bernas dan pandangannya jelas sekalu kabur. Rakyat sudah tidak dapat menerima Ezam lagi, kini beliau umpama "tin kosong" yang menanti hari untuk dibuang ke dalam lubang sampah. Apapun Ezam masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan. Namun, apakah beliau rela kembali selepas dilantik ke jawatan tinggi dengan habuan puluhan ribu ringgit sebulan itu agaknya?. Maka, berakhirlah riwayat "seekor sesumpah laknat"]- pahangdaily

[

24 Jun 2010

Azmin Ali - Dr Asri Dan Ulamak Harus Tolak Menyertai Umno.


- Kedudukan Pakatan Rakyat tidak akan tergugat jika bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta 100 ulama yang lain dikatakan akan menyertai Umno pada Jumaat ini.
Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali (gambar) berkata Asri dan ulama lain perlu berfikir terlebih dahulu sebelum menyertai sebuah parti yang rosak seperti Umno.
"Secara dasar ia tidak pernah mengugat kedudukan Pakatan Rakyat dan kita tidak risau kemasukan mereka, apa yang pasti persepsi ulama akan terjejas.
"Saya hairan bagaimana mereka yang mempunyai pengetahuan dalam agama mempunyai hasrat untuk menyertai Umno sebuah parti yang rosak dan tidak mempunyai maruah.
"Kita melihat tindakan Umno dalam soal lesen judi sukan, mana ada tentangan yang dilakukan oleh pemimpin Umno malah ulama mereka pun mengambil pendekatan berdiam diri. Apa yang dah jadi, inilah konsep politik yang sudah rosak dan sukar untuk diperbaiki lagi.
"Saya berharap Asri atau ulama yang berhasrat untuk menyertai Umno pelu berfikir jauh dan jangan mengambil tindakan mendesak untuk menyertai mereka, banyak yang perlu difikikan. Sebagai golongan yang mempunyai ilmu dalam bidang agama, pendekatan yang perlu diambil ialah menegur Umno dan nyatakan pendirian bahawa judi itu haram dan kelulusan lesen tersebut adalah satu yang tidak wajar," kata beliau ketika ditemui di parlimen semalam.
Tambah Azmin, kalau ulama di dalam Umno tidak berani menegur maka mereka yang berpengalaman luas dalam soal agama perlu bangun menentang kemungkaran.
"Kita dalam Pakatan Rakyat memang menentang lesen judi tersebut, sekarang kita lihat ulama dalam Umno tidak berani untuk menegur ketua mereka disebabkan oleh kedudukan mereka dalam Umno mahupun kerajaan. Ulama yang ada serta tidak terlibat dengan parti perlu bangkit untuk menentang kelulusan tersebut.
"Ulama perlu berani untuk tegur Umno bukan menyertai mereka, kita melihat terlalu banyak kekangan yang diterima oleh ulama dalam usaha menegur kesilapan Umno.
"Dalam kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ada sesiapa pun yang berani membuat teguran mengikut hukum Islam, begitu juga dalam soal judi sehinggakan mereka akan dikenakan tindakan jika membuat kenyataan. Sikap sebegini yang digunakan oleh Umno adalah bersikap kuku besi selain cuba menutup kesilapan yang dilakukan mereka," tambah beliau lagi.
Azmin juga mengatakan penglibatan mereka dalam Umno akan memberi satu kelebihan kepada Pakatan Rakyat kerana rakyat menilai persepsi Asri dan ulama yang lain dalam peranan mereka untuk menegur Umno berhubung isu judi. 
Jalan yang terbaik bagi mereka adalah terus berada dalam keadaan bebas tanpa menyertai mana-mana parti politik di negara ini SK


20 Jun 2010

Lompat Parti - Adakah Khairy Terlibat?


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) mendakwa keghairahan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang memberikan tempoh 48 jam kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan bukti video RM2 juta untuk lompat parti menimbulkan kesangsian samada beliau turut terlibat dalam penawaran kepada bekas ahli parlimen KEADILAN.
"Kita yakin respons Khairy menunjukkan bahawa kemungkinan beliau terlibat dalam penawaran dalam usaha lompat parti sebelum ini.
"Apa yang menghairankan adalah kenapa beliau bertindak seperti 'lebih sudu daripada kuah', sedangkan tidak ada seorang pun ahli parlimen Umno-Barisan Nasional yang bersuara.
"Daripada 'track record' Ketua Pembangkang, Anwar tidak pernah berbohong contohnya dalam isu video VK Lingam yang sebelum ini didedahkan," kata Shamsul Iskandar kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.
Katanya lagi, daripada 4 ahli parlimen KEADILAN yang melompat itu, tidak ada seorang pun yang menafikan perkara tersebut. 
Malahan semasa Anwar mendedahkan tentang kereta dan rumah baru yang dibeli oleh ahli parlimen yang melompat parti dalam Dewan Rakyat baru-baru ini tidak ada seorang pun daripada mereka yang terbabit bangun membantah kenyataan beliau itu.
"Kesemua mereka sememangnya sudah dibeli dan kita ada video untuk membuktikannya.
"Khairy juga perlu memberikan jawapan sama ada apakah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan mengambil tindakan selepas kita melaporkannya?," soal Shamsul Iskandar.
Tambahnya lagi, mengikut rekod sebelum ini, banyak pendedahan yang telah dibuat oleh Anwar dan satu pun tidak diambil tindakan oleh SPRM yang seolah-olah bersengkokol dengan pemimpin Umno-BN.
Pengarah Strategik KEADILAN Tian Chua pula berkata Anwar telah pun membuat pendedahan dan mempunyai bukti kukuh malahan ahli parlimen yang melompat seperti Ahli Parlimen Bayan Lepas, Datuk Seri Zahrain Hashim dan ahli parlimen lain yang turut melompat juga tidak membuat penafian.
"Seperti yang dikatakan Ketua Umum, kita akan dedahkan pada masa yang sesuai, tidak perlulah Khairy menjadi jurucakap bagi pihak mereka.
"Konsensus Bebas ini adakah mereka ini mempunyai maruah dan jika kita dedahkan sekarang, adakah mereka ini akan meletak jawatan?," soal Tian.
"Tidak ada maknanya kita sahut cabaran Ketua Pemuda Umno ini sedangkan sebelum ini apabila kita serahkan video berhubung VK Lingam, tidak ada tindakan pun yang diambil.
"SPRM sepatutnya menghubungi Anwar dan meminta beliau mengemukakan bukti tersebut dan jika benar tindakan terhadap mereka harus diambil dengan melucutkan jawatan mereka sebagai ahli parlimen," kata Tian Chua.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu itu turut berkata kerajaan Umno-BN sebenarnya tidak serius dalam menangani isu lompat parti yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Sebelum itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang membuat beberapa siri pendedahan berhubung ahli parlimen Bebas yang berpaling tadah menerima imbuhan sebanyak RM2 juta serta janji kontrak daripada agen Umno.
Isnin lepas, beliau sekali lagi membuat pendedahan tersebut di dalam parlimen semasa perbahasan ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10.- SK

17 Jun 2010

Kerana Tidak Mematuhi Perjanjian Dengan Kerajaan Negeri, Fiesta Kelantan Gagal

 Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.
Walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.
Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat yang turun mencurah-curah selepas Maghrib.
Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.
Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan loud hailer.
Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan negeri akan memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.
Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berucap.
Tambahnya, penganjur bersama majlis itu, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri sebelum ini.
Beliau yang juga Adun Bunut Payong berkata, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.
Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.
Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan untuk merasmikan Kelantan Fiesta itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.
Ekoran itu, RTM turut membatalkan untuk mengadakan siaran langsung.
Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.
Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan ‘atas sebab-sebab tertentu’ di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.
Tindakan Umno negeri yang menaikkan banner dan bunting gambar Najib dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia.- harakahdaily





                         




Begitulah jadinya  jika penganjur tidak mematuhi perjanjian yang sudah dipersetujui bersama dengan Kerajaan Negeri. Tuhan maha mengentahui segala-galanya. Hanya rakyat yang datang cuma lebih kurang 500 orang saja. Matlamat Fiesta Kelantan gagal. Gambar-gambar dipetik dari sumber Topeng Perak.dan untuk berita seterunya Klip di sini...

15 Jun 2010

Bagi Mendapatkan Sumber Keuwangan, Umno-BN Menghalalkan Apa Cara Sekali Pun


Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sanggup membelakangkan apa sahaja termasuk menghalalkan anasir judi mahupun mengadakan hubungan dengan Israel bagi memperoleh sumber kewangan.

Malah, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata pimpinan negara juga tergamak memperkenal cukai baru hingga membebankan rakyat semata-mata bagi mencapai matlamat itu.

"Jadi saya lihat pemimpin yang ada pada hari ini merasakan zaman pemerintahan mereka sudah hampir berakhir. Mereka yakin kebenaran suasana ini, maka mereka menganggap ini adalah peluang terakhir bagi mempersiapkan diri mereka, kroni mereka, keluarga, syarikat untuk ada dana mencukupi untuk akan datang barangkali," katanya.

Bercakap pada segmen Fokus Berita TV Selangor, Azan  berkata, Malaysia adalah negara yang memiliki sumber alam, malah pernah mempunyai simpanan rizab luar negara lebih tinggi dari Hong Kong dan negara Asean lain.

"Kita pernah mencapai satu tahap rizab tertinggi dalam kedudukan kewangan dan dana  negara kita mengatasi negara-negara Asean dan kita pernah mempunyai simpanan dana rizab asing yang melebihi negara seperti Hong Kong dan Taiwan," katanya

Malangnya, kata Azan, kerajaan Malaysia kini kehilangan pelbagai kelebihan itu sehingga terpaksa  memperkenal pelbagai cara bagi mencari sumber kewangan termasuk melalui cukai hasil judi.

Ini dikatakan mendorong kerajaan memperkenal judi sukan di negara ini walaupun cuba menafikannya sedangkan ia  diakui sendiri Kumpulan Berjaya, kata Azan lagi.

"Kerajaan sanggup menggunakan perjudian sebagai asas untuk meraih dana. Tidak cukup dengan dana setiap tahun sebanyak RM2 bilion dalam bentuk cukai yang dibayar Genting World Resort.

"Tetapi tidak mencukupi. Dia masukkan satu elemen baru perjudian bola sepak,"  katanya.

Azan juga mempersoal kerjasama kerajaan Malaysia dengan Apco Worldwide, sebuah firma perunding yang didalangi pimpinan Israel-Zionis.

Lebih-lebih lagi, kerajaan pemerintah sanggup membayar RM77 juta setahun sedangkan Azan mendapati negara lain yang menggunakan khidmat Apco cuma membayar sekitar USD2 juta.

"Kenapa kerajaan Malaysia membayar lebih untuk fungsi yang sama sedangkan negara lain membayar kurang dari USD2? Ini persoalan besar," katanya. TVS

Bantah Anti Judi 3 Julai ini, Rakyat Digesa Memakai Jersi Bola Mengikut Negeri masing-masing


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan orang ramai yang hendak menyertai demonstrasi bantahan judi bola sepak anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat pada 3 Julai nanti memakai jersi bola sepak yang ada nombor dan membawa sebiji bola tiap seorang.
Beliau mengucapkan tahniah kepada DPPP yang begitu agresif sehingga berjaya menubuhkan Gerakan Membantah Judi Bolasepak dan berharap seluruh rakyat prihatin dapat bersama-sama dalam perhimpunan tersebut. 
"Saya nak minta supaya mereka datang dengan memakai apa saja jersi bola sepak bernombor ataupun mengikut warna negeri masing-masing, kalau datang dari Kelantan bolehlah pakai warna merah dan saya dari Kedah akan pakai jersi hijau kuning, Tok Guru Hj Hadi kena pakai warna putih tapi semua kena pakai jersi bernombor.
"Setiap peserta demonstrasi membawa bola seorang sebiji, ini sebagai simbolik kepada demonstrasi bagi menentang judi bola sepak, kita nak kata 'bola - ya, judi - tidak'.
"Sebab itu saya mengharapkan isu ini menjadi satu lonjakan kepada kita semua dan kepada banyak isu-isu yang lain dan saya harap jangan kita rasa kebimbangan PAS untuk menggadaikan polisinya tetapi ianya dilakukan berdasarkan landasan Islam dan sunnah Nabi dan kita jangan takut melakukan perubahan baru," kata Mahfuz ketika menggulung perbahasan Muktamar PAS ke-56 di sini semalam.- SK

14 Jun 2010

Tiga Adun Dari BN Akan Melompat Menyertai PKR


Barisan Nasional Perak  bakal menerima tamparan hebat apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri  parti itu dikartakan bakal mengambil tindakan nekad mengumumkan untuk melompat menyertai  KEADILAN dalam masa terdekat.
Ini berpunca rasa tidak puas hati yang mendalam terhadap sikap piloiha kasih dan diskriminasi yang di amalkan Menteri Besar 'Mahkamah', Datuk Seri Dr  Zambry Abdul Kadir dalam pentadbirannya hingga ADUN BN terbabit merasakan sumbangan dan jasa mereka kepada parti dan negeri Perak tidak dihargai.
Malah Dr Zambry dikatakan lebih menjaga kepentingan dan kebajikan tiga bekas ADUn Pakatan Rakyat yang melompat sebagai anggota Bebas..
Pada satu sidang media yang diadakan di sini tengahari tadi, Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Zulkifli Ibrahim menjelaskan beberapa ADUN BN telah berjumpa beliau menyatakan tidak puas hati dengan kepimpinan Dr Zambry.
"Barisan Nasional dan Umno Perak sekarang sedang mengalami krisis dalaman yang agak parah, terdapat beberapa ADUN mereka telah berjumpa dengan kita serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Zambry yang dilihat berat sebelah.
"Mereka menjelaskan polisi kerajaan BN sudah semakin tidak stabil dan dilihat sudah jauh tersimpang dari agenda perjuangan sebelum ini. Sikap Zambry yang memberi keistimewaan kepada ADUN Bebas melebihi mereka yang berada lebih lama di dalam Umno.
"Layanan istimewa yang diberikan oleh Zambry itu menyebabkan mereka terasa tersisih, ini bukan sahaja berlaku kepada ADUN malah juga kepada Ketua-ketua Bahagian Umno," jelasnya.
Zulkifli juga memberitahu kalangan ADUN dan pemimpin Umno Perak yang tidak berpuashati dengan stail kepimpinan Dr Zambry telah memulakan Gerakan Anti Zambry (GAZ)  yang dikatakan sedang bergerak aktif dan mendapat sokongan dari setiap bahagian Umno dinegeri itu.
"Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang berada di dalam Umno bahawa satu gerakkan GAZ juga sudah bergerak secara aktif sejak sebulan yang lalu, pergerakkan ini mendapat sokongan dari setiap bahagian yang kecewa dengan Zambry.
"Pergerakkan tersebut dilakukan oleh Pemuda Umno sendiri dan melalui pertemuan dengan kepimpinan KEADILAN  Perak mereka hanya menunggu isyarat yang sesuai untuk turut bersama dengan KEADILAN.
"Apa yang ingin saya jelaskan, mereka meminta nama mereka dirahsiakan dahulu kerana tidak mahu perkara yang tidak dikehendaki berlaku ke atas diri mereka jika pemimpin tertinggi BN mengetahui hasrat mereka untuk keluar dari BN.
"Pengumuman penting ini akan dilakukan oleh kepimpinan KEADILAN Perak bila tiba masa yang sesuai nanti. Kita tidak mahu kejadian yang lama berulang kembali," kata beliau lagi.
Zulkifli memberitahu rakyat dan kepimpinan Umno Perak  kecewa dengan tindakan pemimpin tinggi Umno-BN yang mengamalkan rasuah untuk memancing tiga ADUN Pakatan Rakyat untuk lompat parti awal 2009 sehingga menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat diambil alaih secara haram oleh Dr Zambry.
"Umno Perak dan seluruh rakyat sudah menilai kerja kotor pimpinan tertinggi BN dengan menawarkan sejumlah wang yang besar kepada ADUN Pakatan dan mereka kecewa amalan rasuah bertambah teruk di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Mereka menyifatkan Umno menggunakan jalan yang salah untuk memastikan kedudukan terjamin di Perak sehingga menghalalkan yang haram seperti mana kelulusan lesen judi," katanya lagi.
Zulkifli menambah kebanyakan ADUN BN yang bertemu dengannya menjelaskan akan berlaku kemerosotan kerusi BN pada pilihan raya umum yang akan datang, selain terdapat Orang Asal yang marah dengan kerajaan negeri kerana tidak mengambil tindakan segera tentang soal tanah mereka.
Beliau juga tidak menolak akan berlaku usaha yang dilakukan oleh BN bagi menghalang usaha ketiga-tiga ADUN tersebut untuk menyertai KEADILAN. 
Beliau juga  tidak pasti  tindakan lompat parti sekiranya berlaku akan menyebabkan pembubaran DUN kerana pembentukan kerajaan sudah memasuki tahun ketiga.
Turut hadir sama pada sidang media tersebut termasuk Ketua Biro Strategi Negeri Perak, Md Nasib Rahim dan Ketua Biro Orang Asal Negeri Perak, Arsian Napiteopoeloe -SK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...