Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

25 Jun 2010

Lim Guan Eng - Rais Yatim Bukan Pakar Dalam Budaya Cina


 DAP membidas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam yang mengatakan pertubuhan Cina menyokong lesen judi bola sepak yang diluluskan atas alasan judi adalah budaya masyarakat Cina.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata beliau terkejut dengan kenyataan Rais yang menganggap dirinya seorang pakar dalam hal ehwal Cina yang menyatakan adalah perlu menghalalkan judi bola demi menghormati dan mengiktiraf hak kaum Cina dan India.
"Saya ingin bertanya dengan beliau, pertubuhan Cina yang mana telah memohon kepada kerajaan pusat untuk menghalalkan judi bola.
"Sebelum kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi bola baru-baru ini, pertubuhan atau siapa yang telah memohon lesen judi bola," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Menurut Guan Eng setahu beliau tidak ada sebarang pertubuhan Cina meminta judi bola ini dihalalkan sebagai tanda hak mereka dihormati dan diiktiraf.
"Saya ingin menekankan di sini apa yang diminta oleh masyarakat Cina adalah sama seperti permintaan kaum yang lain di Malaysia iaitu berteraskan prinsip 5K iaitu Kebebasan, Keadilan, Kebenaran, Kebajikan kepada rakyat dan Ketakwaan kepada Tuhan.
"Bukan seperti apa yang pemimpin Umno cakap bahawa hanya berkisarkan atas judi sahaja, nampaknya Umno lebih berminat dengan judi berbanding daripada orang lain," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.
Guan Eng juga meminta kerajaan Umno-BN tidak memecah-belahkan rakyat dengan isu judi ini sambil menegaskan Pakatan Rakyat berpendirian untuk mengurang dan mengawal lesen judi yang berleluasa pada masa ini.
Dalam pada itu, beliau mencabar menteri tersebut menamakan pertubuhan Cina yang mana telah memohon judi bola sebelum kerajaan membuat keputusan berhubung lesen judi bola sepak yang diberikan kepada Ascot Sports Sdn Bhd oleh Kementerian Kewangan sebelum ini.- SK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...