Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

28 Februari 2011

Krisis Libya: PBB Beku Aset Gaddafi, 15 Lain Turut Dilarang


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 27 Feb — Pemimpin Libya Muammar Gaddafi dan 15 yang lain termasuk lima anaknya berhadapan dengan larangan perjalanan antarabangsa dan dibekukan aset mereka.
Majlis Keselamatan semalam (hari ini waktu Malaysia) secara sebulat suara mengenakan larangan perjalanan dan membekukan aset Muammar.

Keputusan itu diambil ekoran pendekatan kekerasan yang dikenakan oleh kepimpinan Muammar ke atas penunjuk perasaan antikerajaan.

Lebih 1,000 orang telah terbunuh dalam kebangkitan rakyat yang masuk minggu kedua.

Majlis itu meluluskan pembekuan aset Muammar, empat anak lelaki dan seorang anak perempuannya, selain larangan perjalanan ke atas keseluruhan anggota keluarganya.


Turut dikenakan tindakan itu ialah 10 orang yang rapat dengan pemimpin Libya itu.

Majlis Keselamatan juga menyokong embargo senjata.

Keputusan itu diambil sekitar pukul 9 pagi tadi (waktu Malaysia).

Resolusi yang diterima oleh majlis dianggotai 15 negara ini juga mahu tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan dibawa segera kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague untuk siasatan dan kemungkinan dikenakan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab membunuh orang awam.

Timbalan duta Libya ke PBB, Ibrahim Dabbashi — salah seorang diplomat pertama mengecam tindakan Muammar dan kemudian membelot berkata, kerajaan pimpinannya sudah tidak ada sebarang kredibiliti lagi.

Kata beliau, resolusi ini petanda bahawa rejimnya akan berakhir dalam waktu terdekat, yang kini hanya wujud di Tripoli.
Ibrahim menambah: “Inilah seorang pemimpin yang tidak mencintai sesiapa kecuali dirinya dan beliau sanggup untuk mengambil apa jua tindakan bagi menindas rakyat sendiri.”- M/insider

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...