Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

04 Februari 2011

Empat Terbunuh, Sekitar 1000 Cedera Di Mesir


KAHERAH 3 FEB: Pertempuran di Dataran Tahrir semalam menyaksikan empat terbunuh manakala hampir 1000 orang penunjuk perasaan cedera.

Insiden ini berlaku apabila beribu-ribu penyokong dan anti-Presiden Hosni Mubarak bertempur di dataran utama ibu negara Mesir di sini yang berlarutan beberapa jam.

Memetik laporan BBC, puak yang menyokong Hosni dilihat memasuki Dataran Tahrir menggunakan kuda dan unta dalam keadaan teracanga manakala kumpulan yang menentang diktator itu dilihat membaling bom petrol dari bangunan berhampiran.

Seorang peguam Ahmed Abdullah,47, dari kumpulan anti-Hosni menuduh rejim presiden itu menggunakan kumpulan samseng dan anggota polis berpakaian preman bertempur dengan penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi buat hari kesembilan semalam, meminta Hosni meletakkan jawatan dengan segera.

“Mengapa mereka mahu kami bergaduh sesama sendiri, dengan satu dunia menyaksikan apa yang berlaku di sini?” katanya.


Sementara itu, Menteri Kesihatan Mesir Ahmed Farid berkata sekurang-kurangnya 600 orang cedera dalam keganasan semalam.

Salah seorang yang terbunuh merupakan askar yang terjatuh dari jambatan, kata menteri itu.

Manakala agensi berita Reuters melaporkan seorang pakar perubatan Dr. Mona Mina memberitahu bahawa lebih 1,500 orang cedera.

Dalam pada itu, Dr. Hatem Aly dari Hospital Gamaet Ein al-Shams di sini memberitahu bahawa kebanyakan yang cedera merupakan kumpulan anti-Hosni.

Tentera yang mengambil sikap tunggu dan lihat sejak demonstrasi seminggu lalu, yang diadakan secara aman, terus menyiarkan mesej menerusi televisyen semalam meminta orang ramai meninggalkan kawasan demonstrasi atas alasan “kumpulan ganas” mahu membakar dataran itu.

Mengikuti laporan secara langsung al jazeera kedengaran bunyi tembakan dilepaskan dan paparan imej kebakaran disekitar Dataran Tahrir.

Penunjuk perasaan terus menggesa agar Hosni meletakkan jawatan meskipun mandat penggal kelima beliau berakhir September ini.

Selasa lalu beliau berjanji tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan September ini.-TVSNews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...