Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

03 November 2010

Umno-BN Memanipulasi 500 Kad Pengenalan: Ku Li Dalang Menyogok Undi

PAS mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) menggunakan senjata terakhir jentera parti itu dua hari menjelang Pilihan Raya Kecil(PRK) Dun Galas dengan memanipulasi 500 kad pengenalan individu yang tidak keluar mengundi.

Dakwaan itu diutarakan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (gambar) pada sidang media menyifatkan taktik keji Umno-BN untuk menambah undi di saat akhir sekiranya majoriti memihak kepada calon PAS.

Justeru beliau berkata, PAS mengambil serius perkara ini dan akan menempatkan pasukan keselamatan di seluruh kawasan Galas bagi melakukan pemantauan menjelang pilihan raya nanti.

"Ada usaha-usaha dibuat pihak tertentu untuk membuat 500 kad pengenalan bagi menggantikan pengundi bagi pihak orang tidak keluar mengundi dan dipungut kad pengenalan mereka. Ini kita ambil perhatian yang berat dan pasukan keselamatan kita akan terus memantau 24 jam," jelas Abdul Halim di Markas Induk PAS pagi tadi.

Tambah beliau lagi, jentera PAS turut akan mengedarkan poster 'AWAS Pengundi' di sekitar Galas memaklumkan kepada umum serangan terdesak Umno-BN.

Abdul Halim juga menjangkakan jentera Umno-BN mula bergerak memperhebatkan taktik bertemu calon-calon pengundi menawarkan wang saguhati memenuhi hasrat kemenangan seperti yang berlaku di Manik Urai
.

Beliau menyatakan jentera PAS telah merangka strategi menangkis serangan agresif bertubi-tubi Umno-BN dengan menempatkan kamera pemantau selain mendakwa Tengku Razaleigh Hamzah(Ku Li) sebagai dalang menyogok pengundi menjadikan pengundi atas pagar dan penyokong PAS sebagai sasaran.

Tambahnya Ku Li berusaha keras untuk membuktikan kepada Umno-BN bahawa beliau masih mampu mengalas tugas memimpin parti itu di daerah jajahan Gua Musang walaupun telah 30 tahun menjadi wakil rakyat parti itu.

"Saya yakin Ku Li akan mempertahankan maruah beliau justeru menunjukkan kepada Umno bahawa beliau masih mempunyai kekuatan di Gua musang dan akan disokong oleh TPM walaupun tidak dengan ceramah tapi dengan barangan dan kewangan untuk membantu Ku Li bagi mencapai matlamat mereka. Kita sudah ada cara bagaimana untuk menyekat strategi ini," jelas beliau lagi.

Ditanya media sejauh mana keyakinan PAS menjelang pilihan raya kecil, Abdul Halim berkata sehingga ke hari ini beliau optimis dan berharap taktik kotor parti lawan akan menemui kegagalan.

"Nampak mood itu optimis. Kita pergi mana-mana, orang Cina, Melayu, India dan orang Asli tahu sekiranya calon BN menang mereka tidak boleh buat apa-apa. Tapi yang boleh hanya calon PAS yang menjadi ejen menyelesaikan masalah mereka," tegas beliau lagi.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pengumuman kenaikan harga minyak RON97 sebanyak 5 sen oleh kerajaan malam tadi adalah tanda-tanda kerajaan Umno-BN akan ditolak pengundi menjelang pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi.

Menyifatkan ianya sebagai waktu yang salah untuk menaikkan harga minyak, beliau mempersoal kebijaksanaan kerajaan dalam waktu kritikal sebegini.

"Bagi kita pihak pakatan pembangkang saya rasa salah 'timing' untuk pilihanraya Galas dan Batu Sapi. Jadi sepatutnya naik selepas ini. Jadi ini akan menjadi satu isu dan kesannya akan berlaku. Saya tidak tahu kebijaksanaan itu," ujarnya sinis.-TVS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...