Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

07 Mei 2011

NGO: Isu fitnah akan dibawa ke Majlis Raja-Raja Melayu, Agung



Ini adalah gambaran kemuncak kemarahan rakyat kepada peguam negara, polis dan pihak bertanggungjawab yang masih tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Trio Datuk T.


Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf) akan membawa isu video fitnah ke Majlis Raja-Raja Melayu sekiranya pihak bertanggungjawab enggan mengambil tindakan tegas, kata jurucakapnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Malah mereka akan mengadakan perhimpunan lebih besar jika kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas individu yang menyebarkan fitnah berhubung rakaman video seks yang kini disebarkan secara berleluasa.

Azmi berkata demikian selepas menghantar memorandum kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), antara lain menggesa pihak berkuasa itu melaksanakan peruntukan undang-undang Islam berhubung tuduhan zina dan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Pengarah JAWI (Pengurusan), Abdul Murat Abdul Wahab, selepas Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali dikatakan berada di Terengganu.

“Ini adalah gambaran kemuncak kemarahan rakyat kepada peguam negara, polis dan pihak bertanggungjawab yang masih tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Trio Datuk T.

“Kami akan senaraikan memorandum ini dan akan dipanjangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu, berjumpa seorang demi seorang dengan anggota Majlis Raja-Raja Melayu.

“Pertama kami akan mengadap Sultan Kedah, diikuti Sultan Kelantan, Dipertuan Agong, kepada seluruh pimpinan politik, NGO dan media massa yang sesetengahnya menjadi dalang dalam fitnah lucah ini,” tegas beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

“Akan kami maklumkan dan memberi tahu kepada rakyat bahawa sudah sampai masanya raja-raja yang menjaga agama dan maruah Islam dan umat Islam mesti campurtangan, kerana tidak ada pilihan lagi, dan ini masanya,” kata Azmi ketika sidangnya media di hadapan Masjid Negara.

Sebelum itu, kira-kira 200 berhimpun di sekitar Masjid negara, sebelum ke bangunan Jawi yang terletak berhampiran bagi membantah cara pihak berkuasa dan media massa mengendalikan isu fitnah dan lucah.

Perhimpunan anjuran Saf itu menggabungkan NGO antaranya Teras, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Muafakat Perubuhan Islam Kedah (Wehdah), Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama’iy) dan Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat.

Ia turut mendapat kerjasama dengan Gabungan Pemuda Pakatan Rakyat dan kumpulan mahasiswa.
Mengulas lanjut, Azmi berkata fitnah yang semakin berleluasa di Malaysia bukan sahaja menjatuhkan maruah negara tetapi seluruh rakyat, khususnya umat Islam.

“Kami beri perhatian serius kerana ini bukan perkara main-main yang bukan sahaja maruah seorang manusia tetapi seluruh rakyat Malaysia. Kita rasa sangat malu keadaan Malaysia yang jatuh di tahap paling hina.

“Sebab itu hari ini, kita menggembeling rakyat berkumpul dan kita akan berhimpun lagi, berhimpun lagi dan berhimpun lagi selagi perkara ini tidak diambil tindakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Pendidikan KEADILAN, Abas Awang menyifatkan fitnah yang berlarutan sehingga ke peringkat institusi pendidikan akan memberikan kesan yang lebih buruk kepada generasi muda.

“Keadilan melihat perkara fitnah amat dahsyat selepas 53 tahun negara kita merdeka, khutbah hari ini juga ada menyebut supaya pertahankan nyawa. Tetapi hari ini, fitnah yang berlaku lebih dahsyat daripada membunuh.

“Masalah kita sekarang sebaran fitnah mula menular ke peringkat sekolah sehingga adanya kursus tertentu dengan agenda menyebarkan fitnah lucah.

“Saya wakil daripada KEADILAN pusat dan mewakili 80 NGO melihat perkara ini perlu dihentikan serta merta. Jangan ingat perkara ini kita biarkan, dari semasa ke semasa kita lontarkan kepada rakyat supaya mereka faham betapa zalimnya kerajaan Umno yang melakukan perkara ini,” kata beliau.

Sementara itu, penyair dan penyajak terkenal, Che Shamsudin Che Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman yang turut bersama dalam demonstrasi itu turut membacakan sebuah puisi bertajuk ‘Jangan Mudah Menuduh’ yang menyelitkan ayat al-Quran daripada surah An-nur ayat 4 berkenaan jenayah-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...