Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

19 Mei 2011

Jihad: Ibrahim Bukan Tokoh Menentukan, kata Ulama Asia


Jihad Ibrahim Ali hanyalah Jihad politik untuk kepentingan beliau

Presiden Perkasa Ibrahim Ali tidak mempunyai kedudukan atau pun ketokohan untuk sewenang-wenangnya mengisytiharkan jihad terhadap penganut Kristian, kata Pengerusi Sekretariat Ulama Asia, Ghani Shamsuddin.

Menurut Ghani, tanpa kuasa yang sah seorang itu tidak layak langsung untuk "melahirkan seruan jihad atau syahid" sebagaimana yang dilakukan oleh Ibrahim.

Justeru, beliau membidas tindakan Ibrahim mengugut akan melancarkan "perang jihad" kerana kononnya wujud konspirasi menegakkan Malaysia sebagai negara Kristian, sebagaimana yang didakwa oleh Utusan Malaysia minggu lalu.


Ghani berkata Ibrahim bukanlah seorang pemimpin yang mempunyai kuasa untuk memimpin sesebuah negara mahupun kerajaan.

"Dari sudut agama apa yang disebut itu (tiada individu yang layak untuk “melahirkan seruan jihad atau syahid” tanpa kuasa yang sah) memang betul bahawa dalam konteks Islam untuk isytihar jihad ni mestilah orang yang menjadi pemimpin negara atau khalifah atau orang yang mempunyai kekuasaan." katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Jelas Ghani, Ibrahim jelas tiada ketokohan apabila ceramahnya di Kampung Changkat, Gombak minggu lalu digunakan untuk melemparkan kata-kata jijik, cemuhan dan fitnah terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan itu juga secara jelas tidak melayakkan beliau untuk mengisytiharkan serta melahirkan seruan jihad mahupun syahid.
"Dia bukan sahaja isytiharkannya tetapi dia sedang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengeluarkan kata-kata kesat, di mana beliau telah menuduh Anwar melakukan perkara yang mungkar."ujarnya.

Dalam ceramah hujung minggu lalu, Ibrahim memberi komuniti Kristian amaran bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Ghani menegaskan pelbagai kontroversi yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab seperti Ibrahim tidak perlu dilayan kerana ia hanya akan mengelirukan serta menghuru-harakan hubungan antara kaum di negara ini terhadap dasar-dasar Islam.-TVS

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...