Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

27 September 2012

Rapid: Melayu jadi hamba atas tanah sendiri


Sudah terlalu banyak tanah orang Melayu menjadi mangsa atas nama pembangunan yang akhirnya mengakibatkan orang Melayu terpinggir dan menjadi hamba kepada orang lain di atas tanah asalnya sendiri.

Sehubungan itu, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menolak projek Rapid Petrokimia Petronas yang diumumkan akan dilaksana di Pengerang Johor sebagai projek mengutamakan rakyat.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata dengan pemindahan penduduk dari 10 kampung tardisional, tidak mungkin boleh diterima sebagai mengutamakan rakyat.


Menurutnya, jika benar projek yang hendak diperkenalkan adalah untuk kepentingan rakyat sepatutnya pandangan rakyat diperolehi terlebih dahulu.

“Kami berpendapat pengumuman PM bahawa projek itu akan dilaksanakan tanpa terlebih dahulu melalui proses perundingan awam adalah tindakan yang mengenepikan hak rakyat untuk memberi maklum balas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, pendekatan kerajaan memaksa rakyat menerima projek pembangunan yang bersifat pengambilan kampung halaman dan memaksa penduduk dipindah adalah pendekatan diktator yang sering dihadapi oleh rakyat di negara membangun.
.

Rakyat, ujarnya sering dijadi mangsa dengan alasan bahawa pembangunan diperlukan dan rakyat perlu berkorban.

Katanya lagi, pihak pemaju projek selalunya mendapat perlindungan kerajaan dan kerajaan pula sering mengiakan kehendak pemaju.

“Teras tidak menerima pendekatan yang sudah lama ditolak oleh rakyat di kebanyakan negara membangun sekarang kerana pendekatan seperti ini akan selalu mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan alam sekitar, peminggiran penduduk, kesan sosio-budaya yang negatif dan kepentingan penduduk tempatan diketepikan untuk diambil alih oleh orang luar.

“Ini bukan kali pertama rakyat diketepikan. Janji awal bahawa puluhan ribu peluang pekerjaan akan disediakan, biasanya tidak berlaku bila projek berskala besar ini dilaksanakan,” ujarnya.

Azmi berkata, perubahan iklim ekonomi semasa sentiasa menjadi helah kenapa syarikat tidak dapat memberi peluang pekerjaan seperti yang diramalkan dan adakala terpaksa membuang pekerja.

“Projek mega seperti ini akan selalunya mengutamakan kepentingan ekonomi dari yang lain,” katanya.

Tambahnya, dalam pengalaman pelbagai projek yang telah dilaksanakan akhirnya pekerja asing diambil dengan alasan kos upah lebih murah dan penduduk tempatan akhirnya terpinggir.

“Pengalaman seperti ini bukan baru. Projek Perwaja di Kedah yang akhirnya rugi kini dipenuhi oleh pekerja luar dan tidak berlaku sebarang keuntungan dan limpahan ekonomi seperti dijanjikan berlaku,”.katanya lagi.

Beliau menambah, Teras berpendapat bahawa kerajaan tidak seharusnya meneruskan pendekatan "dari atas ke bawah" (top down) seolah-olah kerajaan lebih tahu semua dari rakyat.

Sebaliknya, kata beliau pendekatan yang lebih mesra rakyat iaitu "dari bawah ke atas" ( bottom up ) sepatutnya digunakan jika kerajaan benar-benar jujur mengguna prinsip rakyat diutamakan.

“Teras membantah keras pengambilan tanah rakyat oleh projek Rapid Petronas di Pengerang apatah lagi tanah yang melibatkan perkampungan tradisional Melayu,” katanya lagi.-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...