Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

12 September 2012

Himpunan lebih besar jika saham FGVH cecah RM4


Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) bertegas akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika saham Felda Global Venture Holding (FGVH) terus menjunam sehingga paras RM4.00 seunit.

Presidennya, Mazlan Aliman yang dihubungi memberitahu apa yang berlaku hari ini menunjukkan saham FGVH tidak menentu seperti menunjukkan analisis yang dibuat sebelum penyenaraian adalah tepat.

Malah menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sudah mengetahui bahawa pasaran saham akan mengalami kejatuhan namum mereka masih bertegas untuk meneruskan penyenaraian tersebut.


"Kita sentiasa memantau pergerakan saham FGVH dan jika mendapati kedudukan saham berada pada paras RM4.00 seunit. Maka tidak ada pilihan lain satu himpunan besar-besaran akan diadakan bagi mendesak Perdana Menteri serta pengerusinya bertanggungjawab atas kerugian yang dihadapi oleh Felda dan peneroka," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, selain itu juga Anak akan turut menghantar surat kepada Yang Dipertuan Agong dan juga Majlis Raja-Raja agar turut campur tangan dalam isu saham FGVH ini demi kepentingan peneroka dan juga kedudukan Felda pada masa akan datang.


 Beliau turut menjangkakan Najib akan arahkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), KWAP, Lembaga Tabung Haji dan syarikat-syarikat kerajaan membuat pembelian besar-besaran bagi menyelamatkan FGVH dari terus merudum.


"Perlu diingat jika pembelian gagal melonjak semula saham FGVH, syarikat-syarikat milik kerajaan ini akan menanggung kerugian.

"Ini bukan harta Najib mahupun menteri-menteri kabinet yang lain, ini adalah milik rakyat dan dana rakyat, kesan bukan sahaja kepada peneroka tetapi juga seluruh rakyat negara ini," sambung beliau lagi.-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...