Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

02 Disember 2010

Menteri Besar Ajak Rakyat Pertahan Hak Dapat Harga Air Lebih Murah

Rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan usia perlu bangkit untuk mempertahankan hak mereka daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mendapat keuntungan melampau hasil dasar penswastaan perkhidmatan air yang tidak menguntungkan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata rakyat perlu melakukan anjakan paradigma dengan menolak apa saja tindakan atau keputusan yang merugikan mereka.

Sehubungan itu, Menteri Besar mengajak rakyat Selangor dan Lembah Klang tanpa mengira ideologi politik yang mahu mempertahankan hak mereka untuk mendapat air lebih murah dan perkhidmatan cekap supaya bersama-sama menyertai Kerajaan Negeri menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agong pada 5 Disember ini.


“Kita perlu berubah dan bijak membuat penilaian jika tindakan yang dibuat Kerajaan pemerintah hanya menguntungkan kronik dan membebankan rakyat biasa.

“Rakyat perlu menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya kebajikan serta kepentingan rakyat terus terpelihara dan tidak teraniaya,” kata Abdul Khalid ketika menyampaikan taklimat mengenai usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari Syabas kepada kira-kira 500 Nazir dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid seluruh Selangor di sini semalam.

Turut menyampaikan taklimat, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Panel Penilai Air, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Penerangan Negeri, Dr Badrulamin Bahron.

Kerajaan Negeri menganjurkan Kempen Kembalikan Air Kepada Rakyat untuk menyedarkan rakyat Selangor dan Lembah Klang terhadap usaha-usaha Kerajaan Negeri mengambil alih industri air dari syarikat konsesi supaya perkhidmatan bekalan air lebih efisien dan tarif air lebih rendah.

Kemuncak kepada kempen ini ialah perhimpunan beramai-ramai di Masjid Negara sehingga ke Istana Negara pada Ahad, 5 Disember 2010 untuk menyerahkan memorandum.-SK

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...