Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

05 Disember 2011

Bangkit isu HIV untuk tutup rasuah Umno

Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa, tindakan perwakilan Umno yang mempolitikkan isu HIV tinggi di negeri Pakatan Rakyat hanya sekadar mahu menutup pekung rasuah kepimpinan mereka.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Professional Muda dewan itu, Dr Ghazali Hasbullah berkata, tindakan yang cuba menunjukkan hanya di negeri Pakatan Rakyat sahaja berlaku peningkatan kes HIV adalah satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab.

"Umno sudah kekeringan isu untuk dihidangkan kepada rakyat menjelang ketenatan imej rasuah pemimpin mereka.

"Isu peningkatan kes HIV di Kelantan tidak perlu dijadikan jenaka. Ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia," katanya.

Beliau mengulas kenyataan perwakilan Umno semasa perhimpunan agung parti itu yang menghentam kerajaan Kelantan yang dipimpin PAS ekoran statistik tersebut.


Mengikut Statistik Kementerian Kesihatan, 28.8 orang daripada 100,000 rakyat Kelantan dijangkiti HIV.

Ia kemudiannya diikuti negeri Pahang dengan 24 orang, Kuala Lumpur (18) dan Johor (15.5).

"Kalau pemimpin Umno BN begitu rakus untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak melaksanakan tanggungjawabnya, bukankah semua badan pencegahan itu adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan? Polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK), Hospital dan Jabatan Kesihatan, Kementerian Penerangan dan Kementerian Pendidikan yang kesemuanya itu di bawah Kerajaan Persekutuan.

"Persoalannya, apakah Umno mahu menyalahkan seluruh jentera kerajaan persekutuan itu atas peratusan kes HIV yang mereka sangka adalah akibat dari kelemahan kerajaan negeri," soalnya lagi.

Beliau juga menjelaskan, Kelantan antara negeri yang paling komited melakukan usaha pencegahan HIV sejak dipimpin Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Bukan sahaja melalui perlaksanaan undang-undang Islam yang dihalang oleh Umno, tetapi Kelantan juga katanya berusaha dengan pelbagai pendekatan lain.

"Kelantan adalah negeri pertama yang melaksanakan program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) di bawah Kementerian Kesihatan, Kelantan antara negeri yang terawal mewajibkan saringan HIV Pra-perkahwinan (premarital HIV screening) bagi pasangan yang akan mendirikan rumahtangga.

"Kelantan memperuntukkan sebahagian dana kerajaan negeri kepada Pertubuhan Masyarakat Prihatin sebuah badan NGO yang sangat aktif menangani mangsa HIV, memberikan latihan kepada para imam di seluruh negeri Kelantan dan banyak lagi," jelasnya.-Hrkhdly

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...