Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

30 September 2011

PAS cadang muzakarah betulkan persepsi perundangan Islam

PAS hari ini mencadangkan diadakan muzakarah secara terbuka dan ilmiah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi buruk yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti bagi mewakili Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Umno mewakili parti pemerintah dan PAS sebagai parti yang mendesak agar undang- undang ini dilaksanakan.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak.


Islam sebagai sebuah agama yang ditegakkan di atas nas dan "hujah, PAS melihat muzakarah adalah medan menambahkan ilmu dan maklumat secara sihat yang perlu diterima dan disokong oleh semua pihak,” kata beliau.

Dalam kontroversi isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menegaskan isu hudud bukanlah satu isu politik, tapi ia merupakan satu isu yang seringkali dihebahkan terutama menjelang pilihanraya.

“Isu hudud bukan isu politik, tapi ia seringkali dipolitikkan untuk menimbulkan polemik dalam masyarakat, sehingga golongan yang bukan ahli dan golongan bukan Islam turut campurtangan dalam membahaskannya.

"Sedangkan isu hudud merupakan isu yang menyentuh umat Islam secara langsung, dan ianya adalah tuntutan syarak bagi pemerintah untuk melaksanakannya,” terang beliau.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata hudud tidak akan dilaksanakan di negara Malaysia kerana tidak sesuai, Tuan Ibrahim berkata sikap Umno tersebut yang menimbulkan pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung.

Umno sebagai parti pemerintah selama 54 tahun, katanya tidak pernah berusaha, tidak pernah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan mahupun sedikit bayangan bagi melaksanakannya.

“Sikap sambil lewa dengan memberi pelbagai alasan rekaan untuk tidak melaksanakan perintah Allah ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung,” tegur beliau.

Alhamdulillah

Sementara itu, Murshidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat menyambut baik keputusan mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat yang menghormati niat kerajaan Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah.

Menulis di laman Facebooknya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau amat bersyukur kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh bukan Islam.

“Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh Umno yang masih menghalang hasrat kami,” tulis beliau lagi.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan malam tadi telah memutuskan untuk membenarkan PAS terus menerangkan mengenai undang-undang syariah itu di samping menyatakan dengan jelas DAP tidak menyokong ianya dilaksanakan.-Hrkhdly

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...