Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

27 September 2010

Muhyiddin Pertahankan Pengetua Yang Bersikap Perkauman


Kenyataan Muhyiddin Bersifat Anti-Perpaduan
 Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Kementerian Pelajaran tidak berkuasa menentukan tindakan ke atas pengetua rasis Bukit Selambau dianggap tidak bertanggungjawab dan anti- perpaduan kerana pada masa yang sama beliau cuba menjadi hero perpaduan melalui gagasan '1Malaysia'.
Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) berkata kenyataan Muhyiddin itu dilihat kurang bijaksana kerana seolah-olah mempertahankan pengetua yang bersikap perkauman terhadap pelajar bukan Melayu. 
"Sekurang-kurangnya mereka disiasat kerana melakukan provokasi terhadap murid-murid ini kerana mengikut Perlembagaan yang termaktub, kita perlu menjaga hak dan kepentingan semua kaum.

"Beliau seolah-olah cuba lari daripada menjawab persoalan yang dibangkitkan dan tidak menyelesaikan secara profesional seperti pepatah, baling batu sorok tangan. Ini memendekkan lagi hayat politik pemimpin Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum akan datang.
"Ini menunjukkan, kerajaan Umno-BN sudah berada di penghujung jalan dan bakal tersungkur pada PRU-13 nanti. Kebiasaannya, orang tua kata mereka yang akan mati buang tabiat dan inilah yang dilakukan oleh pemimpin Umno-BN sekarang ini," kata Abdullah Sani kepada Suara Keadilan.
Apa yang dikesalkan katanya, jika perkara yang sama dilakukan oleh pemimpin Pakatan Rakyat, pihak polis dengan pantas akan  mengambil tindakan undang-undang tetapi dalam hal yang membabitkan kepentingan Umno-BN, sedikit pun tidak ada tindakan terhadap mereka yang terlibat.
"Kita ambil contoh seperti akhbar Suara Keadilan yang baru-baru ini disaman Felda, isu itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membuat pengumuman saman RM200 juta itu di media.
"Begitu juga dengan tindakan pihak polis yang dengan segera mengambil tindakan terhadap Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung isu kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya," ujar beliau.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya tidak kuasa mengambil tindakan terhadap pengetua tersebut terletak di tangan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pada 4 September lalu, media melaporkan JPA telah menerima laporan setebal enam inci daripada kementerian itu tetapi masih membisu berhubung keputusannya.
Tiga hari lalu, MCA melahirkan rasa tidak berpuas hatinya dengan pengetua yang tidak dikenakan sebarang hukuman kerana mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar bukan Melayu pada bulan Ramadan yang lalu.
Ketua MCA Kedah, Chong Itt Chew berkata jika pengetua itu, Ungku Aznan Ungku Ismail, tidak dipindahkan ke sekolah lain, parti itu mungkin menganjurkan protes di depan sekolah berkenaan.
Chong berkata ibu bapa pelajar terbabit juga telah memohon kepada Jabatan Pelajaran agar pengetua SMK Bukit Selambau (SMKBS), Sungai Petani itu dipindahkan secepat mungkin.-SuaraKeadilan

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...