Pemimpin Umno-BN Gagal Tunjuk Contoh Akhlak Mulia
Pemimpin Umno-Barisan Nasional gagal menunjukkan tauladan serta model yang baik untuk menjadi ikutan rakyat dari segi akhlak, moral mahupun memenuhi tuntutan syarak dan agama.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar mengambil contoh isteri pimpinan Umno yang kebanyakannya tidak menutup aurat hatta apabila memasuki masjid atau menghadiri majlis keagamaan.
Bagaimanapun Umno dilihat begitu pantas menyerang pimpinan Pakatan Rakyat yang bukan Islam apabila mereka berkunjung ke masjid atau surau dengan tujuan untuk mendekati masyarakat Islam.
"Bagi mereka ini jika pemimpin mereka sendiri yang beragama Islam tidak menurut tuntutan agama seperti menutup aurat, ia tidak menjadi isu kepada mereka. Tetapi apabila ianya berlaku kepada pemimpin daripada Pakatan Rakyat yang bukan Islam ia menjadi heboh dan diperbesarkan.
"Dalam Islam akhlak dan peribadi ini adalah menjadi keutamaan. Apabila kita mahu orang lain mencontohi Islam yang adil kepada semua, maka pemimpin itu sendiri mesti membuktikan bahawa kepimpinan mereka juga adil. Isteri-isteri mereka juga perlu menutup aurat.
"Apabila isteri pemimpin Islam masuk dalam masjid mereka menutup aurat. Apabila yang bukan Islam melihat akhlak yang ditunjukkan itu akan menjadi contoh kepada mereka. Namun begitu contoh ini tidak dilaksanakan oleh kebanyakan pemimpin yang sering menyalahkan orang lain," tegas Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis meraikan 100 ibu tunggal, orang miskin dan anak yatim anjuran JKKK Kubang Semang dan Wanita KEADILAN Cabang Permatang Pauh di perkarangan Masjid Kubang Semang semalam.
Tambah beliau, Islam memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira fahaman dan ideologi, ras serta keturunan ataupun pangkat dan kedudukan seseorang.
Anwar turut membidas sesetengah pihak yang mempolitikkan isu agama untuk kepentingan politik sempit mereka sambil mengatakan sesetengah pemimpin kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak menunjukkan sikap pro aktif yang boleh dijadikan tauladan kepada masyarakat.
Katanya lagi jika rasuah tidak mahu dibiarkan berleluasa, maka pemimpin harus menunjukkan contoh bahawa budaya rasuah itu adalah haram dan tidak patut menjadi amalan.
"Jika ini menjadi satu keutamaan, maka pasti rasuah dan korupsi yang mencemarkan imej negara dan pemimpin tidak akan menjadi satu perdebatan yang memalukan," tambah beliau lagi.
Turut sama dalam majlis tersebut termasuk Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.-SK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan