Sambutan ambang Merdeka ‘Janji Bersih’ 30 Ogos ini bertujuan mengajak seluruh rakyat hadir untuk meraikan Hari Kemerdekaan sambil mengingatkan kerajaan tentang lapan tuntutan Bersih yang perlu ditunaikan.
Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, himpunan itu bukan bermaksud untuk mensabotaj atau mengambil alih sambutan kemerdekaan, tetapi turut meraikan semangat kemerdekaan supaya lapan tuntutan Bersih tersebut ditunaikan.
“Asasnya kemerdekaan adalah hak individu dalam negara, dan paling penting hak rakyat untuk menentukan siapa seharusnya jadi kerajaan. Sebab itu kita mengajak semua untuk hadir meraikan Hari Kebangsaan dalam semangat inginkan pemerintahan yang bersih,” katanya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath memberitahu, kumpulan itu telahpun menggerakkan jawatankuasa untuk masuk ke kampus dan kampung-kampung dalam usaha menyebarkan tujuan program ini.
“Kami menuntut sambutan Merdeka yang betul-betul menepati cita rasa rakyat dan melaksanakan janji-janji kerajaan, bukan hanya sebagai slogan,” kata Khalid.