Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

10 Ogos 2012

Tak perlu JK Royalti, bayar segera kepada Kelantan

Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa untuk meneliti pembayaran royalti kepada Kelantan sebagai satu birokrasi politik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran royalti itu sudah termaktub dengan jelas dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan pada bulan Mei 1975 lalu.

"Kita berpendapat akta petroleum cukup jelas yang meletakkan bayaran tunai diberikan secara terus kepada kerajaan negeri seperti mana berlaku di Sabah dan Sarawak tetapi bagi Kelantan mereka menafikan.


"Kita tuntut Najib agar tidak berlengah dan dalih bagi menyegerakan pembayaran royalti kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakkan bahawa sudah sampai masanya Petronas harus menimbangkan supaya pembangunan berlaku lebih seimbang di negeri-negeri yang mempunyai gas dan minyak.

"Dalam soal ini Petronas juga perlu bertindak agar pembangunan loji turut diadakan di Kelantan bagi tujuan pendaratan minyak dan gas sepertimana dilakukan di Terengganu," sambungnya.

Beliau turut mengulangi, keputusan Pakatan Rakyat seperti mana tercatat di dalam Buku Jingga bahawa akan membayar 20 peratus royalti kepada negeri-negeri yang layak tanpa ada syarat-syarat lain dari kerajaan pusat.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menegaskan royalti perlu dibayar kepada akaun kerajaan negeri dan bergantung kepada kerajaan negeri untuk membelanjakannya.

"Najib nak bincang tentang bentuk pembayaran, perkara itu dah jelas ia perlu dibayar terus ke akaun kerajaan negeri dan tak perlu dibincangkan lagi.

"Jika pendaratan dilakukan di Kelantan secara tidak langsung akan meningkatkan sektor ekonomi di Kelantan dari ruang peluang pekerjaan dan sebagainya," kata beliau.

Beliau memberitahu, enam bulan untuk perbincangan adalah tempoh masa yang lama dan jika pilihanraya diadakah sebelum tempoh tersebut serta Pakatan Rakyat memerintah, penbayaran tunai royalti akan disegerakan.-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...