Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

10 Ogos 2012

M’sia jadi bahan lawak a’bangsa jika halang bapa Altantuya


Malaysia akan jadi bahan lawak antarabangsa jika keluarga mendiang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dihalang memasuki negara ini, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.

“Jika ia dilakukan, bermakna Malaysia kena bersedia untuk dijadikan bahan lawak antarabangsa. Harap-harap perkara ini tak berlaku,” kata Gwo Burne, merujuk khabar angin mengatakan bapa Altantuya, Setev Shaaribuu dan seluruh keluarganya akan dihalang dari memasuki Malaysia.

Keluarga Altantuya dijadual tiba ke Malaysia untuk mengikuti pendengaran semula rayuan dua bekas pegawai khas Najib Razak yang dijatuhi hukuman mati akibat membunuh Altantuya, iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar pada 27 dan 28 Ogos ini.


“Itu hak keluarga mereka. Sebagai kerajaan yang terbuka, Malaysia mesti membenarkan mereka mengikuti perbicaraan,” tegas Gwo Burne ketika dihubungi.

Menurut Gwo Burne, beliau difahamkan oleh Pejabat Konsul Mongolia di Malaysia, pemakluman secara rasmi kehadiran Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri & Perdagangan dan Kementerian Keadilan Mongolia belum lagi dibuat.

“Tidak ada lagi maklumat tentang kehadiran dua Kementerian Mongolia itu ke Malaysia,” kata Gwo Burne yang sebelum ini mendesak Kementerian Luar Malaysia, menyantuni ketibaan delegasi pemerhati negara itu secara rasmi.

“Pegawai kerajaan Mongolia yang guna laluan diplomatik tidak perlu permohonan visa berbanding bapa Altantuya dan keluarganya. Mereka perlu memohon visa. Visa dikeluarkan pejabat konsul atau kedutaan mengambil masa lebih seminggu.

“Kita berharap permohonan visa Setev dan keluarga mereka selesai segera,” kata Gwo Burne.
Altantuya dibunuh secara kejam apabila mayatnya diletupkan menggunakan bom C4 di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam antara malam 18 Oktober dan 19 Oktober 2006.

Beliau adalah penterjemah kepada Abdul Razak Baginda dalam pembelian Scorpene dan turut dikait mempunyai hubungan dengan Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dua anggota Unit Tindakan Khas dan pengiring kepada Najib, Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009, setelah didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya.

Hakim dalam kes perbicaraan itu tidak memutuskan motif pembunuhan.-Keadilandaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...