Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

05 Februari 2014

Kajang: Kehadiran Anwar elak BN guna darurat rampas Selangor, kata Rafizi


Kajang: Kehadiran Anwar elak BN guna darurat rampas Selangor, kata Rafizi
Kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Selangor penting bagi menghalang Barisan Nasional (BN) menjadikan situasi darurat sebagai alasan merampas negeri termaju itu, kata PKR.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata Umno dan BN pernah menggunakan pendekatan berkenaan pada 1977 di Kelantan apabila mengisytiharkan darurat dan merampas kuasa kerajaan negeri daripada PAS.

“Kita tidak menolak kemungkinan bagaimana isu kaum dan agama dimainkan. Dahulu, Umno pernah melakukannya di Kelantan. Umno menggunakan kuasa darurat bagi menggantung pentadbiran kerajaan negeri. Ia pernah berlaku sebelum ini.


“Jika isu agama di Selangor berterusan dengan demonstrasi di sana sini setiap minggu terhadap agama lain dan kenyataan sensitif dikeluarkan, ia memberikan pelbagai kemungkinan kepada Umno Selangor dengan menggunakan isu di negeri itu untuk campur tangan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Pertengahan bulan lalu, Umno Selangor mengumumkan untuk mengadakan perhimpunan bersiri (roadshow) untuk mendidik umat Islam di negeri itu tentang undang-undang mengenai penggunaan kalimah Allah.

30 siri jelajah yang dijangka disertai semua 22 bahagian Umno di Selangor itu akan digunakan sebagai pentas mendidik umat Islam mengenai Enakmen 1988 Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam), undang-undang yang melarang semua penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan 34 perkataan bahasa Arab yang lain di negeri itu.

Rafizi berkata, BN akan mendakwa Selangor berada dalam keadaan rapuh yang seterusnya membolehkan kerajaan persekutuan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, situasi politik yang semakin mencabar di Selangor memerlukan seorang pemimpin berwibawa seperti Anwar bagi menjawab sesuatu isu dengan lebih pantas.

“Mereka akan mendakwa Selangor berada dalam keadaan rapuh sehingga membolehkan campur tangan kerajaan persekutuan dan Ordinan Darurat. Masalah politik memerlukan pemimpin berwibawa dan orang yang sesuai adalah Anwar.

“Anwar respon kepada isu politik dan membuat keputusan lebih cepat. Abdul Khalid mengambil masa yang lebih lama untuk menjawab isu tersebut. Sebab itu jika anda parti pembangkang dan melihat lawan anda beri respon lebih pantas, teknik permainan harus diubah.

Rafizi mendakwa, strategi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah diketahui dan sudah tiba masanya mereka menukar strategi politik di negeri itu.

“Sejak empat tahun lalu, mereka mengetahui cara Abdul Khalid, cara kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Selangor berikan respon. Teknik keseluruhan perlu diubah,” katanya.

Kelantan diisytiharkan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 November 1977 atas permintaan kerajaan persekutuan setelah berlaku rusuhan jalanan di negeri itu.

Menteri Besar Kelantan, Mohamad Nasir daripada PAS yang merupakan sebahagian daripada BN pada 1974 berdepan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin parti Islam itu kerana ingkar arahan parti.

Usul tidak percaya dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyaksikan 20 Adun PAS menyokong usul itu sementara 13 Adun Umno dan seorang daripada MCA keluar membantah usul.

Mohamad enggan meletakkan jawatan yang kemudiannya menggesa Speaker membubarkan DUN tetapi ditolak.

Penyokong Mohamad kemudiannya mengadakan demonstrasi jalanan sehingga berlaku keganasan.

Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 diluluskan di Parlimen hari berikutnya (9 November) memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan mengambil alih pentadbiran negeri.

Pada Mac 1978, satu pilihan raya diadakan di Kelantan yang ditandingi oleh PAS, Umno dan Berjasa, satu parti yang ditubuhkan oleh Mohamad.

Umno menang pilihan raya itu dengan 23 kerusi sementara Berjasa menang 11 kerusi dengan PAS hanya dua kerusi membolehkan Umno membentuk kerajaan.

Kuasa itu kekal sehingga PAS-Semangat 46 mengambil alih pada 1990. - TMI




Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...