Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

22 Julai 2013

16:16 perkukuh fungsi amar makruf nahi munkar


Kedudukan Dun Terengganu 16:16 akan memperkukuhkan lagi fungsi amar makruf nahi mungkar. Kerajaan yang baik memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan untuk fungsi ‘check and balance’. Keberkesanannya teguran dan pendedahan dari pembangkang terbukti berkesan dari tempoh kempen PRK ini lagi.

Contohnya, pendedahan PAS dalam isu kecuaian calon BN ketika berkhidmat sebagai Jurutera JPS Besut sehingga mengakibatkan rosaknya Empangan Pengkalan Nangka, natijahnya kira-kira 1,000 ekar tanah sawah yang menjadi punca rezeki 400 keluarga di empat buah kampung kering kontang. Kita meyakini isu ini sangat tepat dan benar sehingga tidak dapat ditangkis oleh kerajaan.



Akhirnya sebagai jawapan, semalam (Sabtu 20 Julai 2013) Timbalan Perdana Menteri mengistiharkan peruntukan RM35 juta untuk pembinaan empangan baru Pengkalan Nangka. Sama ada peruntukan tersebut memang benar-benar wujud atau sekadar janji kosong, kita bersangka baik dahulu tetapi persoalannya kenapa baru istihar dalam kempen PRK sedangkan sudah lebih 3 musim ribuan ekar sawah tersebut terbiar?

Kalau tiada PRK serta tanpa teguran dan pendedahan dari PAS, mungkin kerajaan akan terus senyap membisu dalam isu ini.

PAS perlu diberikan peluang untuk mencorakkan Kuala Besut menjadi ‘baldatun toyyibah warabbun ghafuur..’ bumi yang baik dengan mendapat keampunan Allah.

Setelah sebegitu lama BN diberikan peluang untuk mewarnai Kuala Besut dengan warna dan corak pilihan mereka, tetapi terbukti statistik PDRM menunjukkan Kuala Besut adalah lokasi kadar jenayah yang tertinggi di Daerah Besut terutamanya jenayah harta benda, kekerasan dan narkotik.

Tentu sekali adik kakak kita di Kuala Besut merasa malu dengan fakta ini. Bumi Kuala Besut tempat orang baik-baik. Mana mungkin laporan mendedahkan, majoriti jenayah rogol di Besut berlaku di sini.

Begitu juga tangkapan kes dadah. Kita tidak ingin menjadi juara dalam aspek sebegini. Faktornya pelbagai tetapi tentunya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan negeri dan setempat mesti mengambil saham yang terbesar dalam persoalan rumit ini.

Kalau selepas lebih 50 tahun BN diberikan peluang, masalah jauh sekali dari selesai malah makin membarah, tak salah rasanya kalau PAS diberikan peluang untuk menyambung semula kerja-kerja yang telah dirintis dan dilaksanakan dengan baik dari tahun 1999 – 2004 dulu.

Semua memaklumi bahawa Umno merantai pengundi dengan ‘pitih’. Inilah candu terbaik yang menjadi senjata Umno/BN. Sejarah China ada ada mencatatkan kisah ‘Peperangan Candu’ di mana candu digunakan sebagai senjata untuk melemahkan musuh.

Bantuan sara hidup nelayan, BR1M, bantuan awal persekolahan, dana hari raya, bantuan JKM serta pelbagai lagi bentuk agihan tunai. Khabarnya untuk Kuala Besut, bantuan JKM untuk bulan Ogos telah siap diagihkan! Hebat sekali! Berubahkan taraf hidup rakyat? Tidak! Semua agihan tunai ini diistilahkan oleh masyarakat setempat sebagai ‘buleh habih’. Maknanya dapat dan dihabiskan dalam tempoh singkat sahaja. Kadang-kadang dalam masa sehari, semuanya licin.

Apakah segala bantuan ini mampu mengeluarkan masyarakat Kuala Besut yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan?

Adik kakak di Kuala Besut yang masih boleh melihat, berfikir dan menilai mampu memberikan jawapan jujur dalam hal ini. Adik kakak ambillah apa yang dibagi kerana memang dia hak adik kakak semua dari pitih rakyat, bukannya harta pusaka tok nenek Umno. Cuma dengan ingatan, gunakanlah kebijaksanaan kita untuk makan umpan tanpa telan mata kail sekaligus.

Kalau menang PAS sekalipun, adik kakak tetap akan dapat duit ini. Jangan takut dengan ugutan. Malah mungkin bila Umno merasa kedudukan mereka makin terancam, bantuan akan dinaikkan lagi.

Untuk jangka panjang, kita memerlukan kerajaan yang mampu merancang dengan baik serta memanfaatkan bajet besar Negeri Terengganu yang mencecah RM2 bilion untuk kita ubah taraf hidup kita bersama. Ayuh! Kita jadikan Kuala Besut permulaannya…-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...