Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

25 Januari 2013

Injil kalimah Allah: Tak perlu berlagak samseng


Hasutan supaya dibakar Injil berbahasa Melayu dengan kalimah Allah menjauhkan lagi orang bukan Islam dari pengertian sebenar kalimah Allah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sebelum ini menghasut supaya dibakar Injil berbahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah.

"Umat Islam seharusnya merasa malu dengan perbuatan Presiden Perkasa itu.

"Perbuatan beliau bukannya mendekatkan orang bukan Islam kepada kalimah Allah malah menjauhkan lagi mereka dari pengertian sebenar kalimah tersebut," kata Mahfuz.


Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apa jua masalah sepatutnya dibincangkan dengan matang dan tenang dan bukan dijadikan peluang untuk menunjuk samseng sehingga memberikan imej yang buruk kepada Islam.

"Tindakan menunjuk samseng dengan ugutan hendak membakar dan sebagainya menutup terus pintu perbincangan dan boleh mencetuskan ketegangan.

"Sedangkan, kalau bincang dengan matang dan tenang, sentiasa ada peluang supaya pandangan kita dihormati dan diambilkira," katanya.

Mahfuz berharap semua rakyat Malaysia memahami bahawa tindakan berlagak dengan budaya samseng tidak mewakili pandangan Islam dan umatnya.

Beliau juga kecewa dengan kelancangan sikap samseng yang mengakibatkan imej yang buruk kepada Islam dan umatnya.

"Saya harap ulama yang memberikan pelbagai pendapat sebelum ini dapat juga memberikan pendapat tentang apa hukumnya perbuatan yang mengakibatkan imej yang buruk kepada Islam dan umatnya," kata Mahfuz.-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...