Negara ini adalah negara yang berlandaskan demokrasi, rakyat berhak memilih mana-mana parti politik kesukaan mereka.
Umno-Barisan Nasional sejak dahulu lagi tidak mempercayai akan prinsip demokrasi, dan oleh itu, menjadi satu kesukaran kepada mereka untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada satu-satu pilihanraya.
Demikian pandangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Chua Jui Meng berhubung gesaan akhbar Kumpulan Utusan agar Barisan Nasional 'menghukum' pengundi Cina yang tidak menyokong perikatan itu.
Katanya, jika Utusan yang dikenali sebagai 'lidah rasmi' Umno dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan komentar sedemikian rupa, tidak mustahil falsafah sama digunakan oleh pucuk pimpinan Umno dalam menilai keputusan rakyat di Sarawak.
"Rakyat Cina sudah tolak mereka di Sarawak, oleh kerana tidak puas dengan dasar-dasar Umno yang menindaskan mereka dan mereka buat bantahan cara yang demokratik. Mereka gunakan saluran undi bukan berperang dengan Barisan Nasional,"jelas Jui Meng.
"Kita hendak bezakan antara kerajaaan dan parti, kalau mereka tolak parti itulah sahaja. Kerja kuat, ubah polisi lebih prihatin terhadap masyarakat Tiong Hua yang anggap mereka dipinggirkan di dalam aspek-aspek polisi kerajaan Barisan Nasional.
Mingguan Malaysia pada Ahad menggesa perikatan tidak terlalu "pemurah" dengan melayan kedudukan masyarakat Cina dalam kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya negeri Sarawak kali ini.
Mingguan Malaysia berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.
BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.
Satu lagi akhbar milik Umno, Berita Harian dalam ruangan editorial berkata “sudah tiba masa BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu".
Melihat kepada keadaan ini, menurut Jui Meng, media milikan Umno kini semakin berani menyiarkan berita-berita berunsur hasutan kerana dilindungi oleh tuan mereka.
Bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat tidak akan membiarkan senario sama berlaku andai gagasan itu mentadbir negara kelak.-Tvs
Tiada ulasan:
Catat Ulasan