Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

28 April 2011

Peguam bidas ‘kepakaran’ doktor dan kredibiliti saksi


Peguam Anwar, Karpal Singh hari ini dalam hujah penggulungan balas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menegaskan beberapa persoalan berkenaan kredibiliti dan kepakaran saksi yang dipanggil pendakwaraya.

Ia, menurut Karpal secara sengaja dilakukan pendakwa bagi mengelakkan motif konspirasi politik terdedah di mahkamah.

Menurut Karpal, pada 27 Jun iaitu sehari selepas kejadian liwat didakwa berlaku, Saiful tetap pergi ke ibu pejabat KEADILAN, malah ke rumah Anwar.

Saiful juga katanya turut bertemu pembantu khas kepada isteri perdana menteri, Datuk Mumtaz Jaafar dan bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Ezam Mohd Noor.

“Mumtaz dan Ezam tidak dipanggil. Malahan, terdapat keterangan dari Saiful kononnya Mumtaz melarang beliau daripada membuat laporan itu,” kata Karpal.


Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair pula sewaktu hujah penggulungan balasnya membidas pendakwa raya yang mengatakan doktor Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Saiful adalah pakar.

Menurut Sankara, Dr Siew Sheue Feng merupakan seorang ahli forensik pathologi yang sememangnya tiada kepakaran dalam mengendalikan kes berkaitan rogol atau pun liwat.

“Dia seorang ahli forensik patologi, berurusan dengan mayat yang tidak bernyawa. Cuma sekali sekala sahaja dia memeriksa orang yang hidup. Anda tidak boleh memanggil itu sebagai pakar,” kata Sankara.

Beliau turut menegaskan bahawa Dr Razali Ibrahim dan Dr Khairul Nizam juga tidak pernah dilatih secara forensik untuk mengendalikan kes-kes membabitkan serangan seksual.

Berhujah lebih lanjut, Sankara menegaskan terdapat percanggahan di antara laporan perubatan HKL dan kenyataan saksi pertama, Saiful Bukhari. Justeru, ia membuktikan Saiful sebenarnya seorang saksi yang tidak berwibawa untuk memberi keterangan.

“Laporan perubatan menyatakan kononnya walau pun kejadian liwat itu berlaku, dubur Saiful tidak mengalami sebarang kesan koyak kerana hanya sedikit daya digunakan sewaktu penetrasi berlaku.

“Namun, saksi pendakwa pertama, sewaktu memberi keterangan dari kandang saksi mendakwa “ia dilakukan dengan rakus sehingga saya sakit dan senak di perut,” kata Sankara.

Beliau juga berkata barang bukti karpet dan duvet yang dibawa ke mahkamah diragui sama ada ia benar-benar barang bukti yang sama yang berada di unit kondominium 11-5-1 Kondominium Desa Damansara.

“Adakah ia karpet yang sama? Tiada siapa tahu. Adakah ia duvet yang sama? Tiada siapa tahu,” kata Sankara.

Perbicaraan kes Fitnah II yang menyaksikan kedua-dua peguam bela dan pendakwa raya membentangkan hujah penggulungan mereka ditangguhkan hari ini dan akan bersambung semula pada 16 Mei.

Peguam bela dan pendakwa raya diberikan sehingga Jumaat ini untuk menyerahkan hujah penggulungan bertulis mereka kepada Hakim Zabidin untuk membolehkan beliau membuat keputusan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan memberikan keputusan beliau sama ada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil membela diri pada tarikh 16 Mei depan.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...