Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

21 April 2011

Adik Najib ada kepentingan dalam inisiatif emel 1Malaysia


Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kepentingan dalam projek emel 1Malaysia yang diumumkan Najib semalam.

Perkara itu didedahkan portal berita dalam talian, MerdekaReview dalam artikel mereka hari ini.
Projek emel 1Malaysia yang bernilai RM50 juta diberikan kepada Tricubes Berhad dan setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas bakal memperolehi satu akaun email untuk urusan komunikasi terus dengan jabatan kerajaan.

Menurut artikel itu, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd yang merupakan usaha sama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Commerce Group.


“Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak (gambar kanan).
“Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group,” menurut artikel itu.

Menurut artikel itu lagi, Tricubes yang merupakan syarikat bertaraf GN3 di Bursa Malaysia dan berhadapan kemungkinan dinyahsenarai pernah cuba membida 32.2 peratus saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad namun gagal memperoleh saham itu.

Penganugerahan projek emel 1Malaysia bernilai RM50 juta itu dipercayai untuk membantu program penstrukturan kewangan Tricubes.

“Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober,” artikel itu dipetik.

Menurut artikel tersebut, perkara yang paling menghairankan, adalah tindakan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) yang mendakwa mengutamakan meritokrasi dan ketelusan tetapi pada masa sama melantik sebuah syarikat yang berdepan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...