Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

19 April 2011

Shamsul Yakin JAWI Akan Dakwa' Datuk T'


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin yakin dengan kesungguhan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Mahkamah Syariah untuk menyiasat serta mendakwa individu yang terlibat dalam penayangan video lucah yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, Mac lalu.

Shamsul berkata demikian selepas hadir ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi memberi keterangan berhubung laporan Qazaf (tuduhan perbuatan zina) yang dilakukan ke atas Anwar.

"Saya yakin dengan komitmen JAWI kerana pihaknya bersungguh untuk siasat kes ini. Bagaimanapun saya tidak mahu membuat andaian awal, dan berharap (kes Qazaf) dibawa ke mahkamah syariah untuk dibuat pendakwaan serta tiada campurtangan mana-mana parti politik," katanya kepada media hari ini.


Dalam sesi keterangan selama dua jam itu, Shamsul turut diiringi peguam Amir Nazri dan Fahda Nor Ahmada Kamal.

Katanya, beliau telah disoal berhubung penglibatan individu tertentu yang bertanggungjawab mendedahkan video lucah tersebut.

Jelasnya, JAWI juga meminta beliau untuk hadir semula bagi memberi keterangan lanjut berhubung penayangan video yang dijalankan di sebuah hotel ternama itu.

Menurut Shamsul lagi, penguatkuasa yang mengendalikan kes itu turut menyoal beliau dari pelbagai aspek termasuk hal berkaitan politik dan isu jam Omega yang didakwa adalah milik Anwar.

"Saya katakan ianya (berlaku) pada masa yang sempurna, ditayangkan pada 21 Mac iaitu sewaktu pembubaran DUN Sarawak dan pada ketika kes (liwat) Anwar di akhir kes pendakwaan.

"Saya telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk bekerjasama dengan bahagian penguatkuasaan Jawi dan kita harap ia bukan hanya sekadar mengambil keterangan, tetapi tindakan serius harus diambil untuk melakukan pendakwaan terhadap ketiga-tiga individu ini," kata beliau lagi.

Jawi turut akan memanggil Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mohd Hamdi Mohd Syed sekitar minggu ini.

Shamsul akan hadir semula ke Jawi bagi menyambung keterangan pada 4 Mei nanti.

Siasatan ke atas Shamsul Iskandar itu dijalankan susulan laporan yang dibuatnya kepada JAWI pada awal bulan ini, berhubung dakwaan Qazaf berkenaan.

Laporan berkenaan dibuat mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pada 23 Mac lalu, tiga orang individu termasuk bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengakui bahawa mereka merupakan trio 'Datuk T' yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, dua hari sebelumnya.

Dua lagi invidu terlibat ialah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim.-Tvsnews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...