Urusan memilih pemimpin adalah satu urusan dan amanah yang sangat penting dalam Islam. Pemimpin yang kita pilih ini pula adalah melaksanakan amanah Allah SWT, dan membawa mandat rakyat yang memilih mereka.
Kita pula akan melakukan kesilapan yang besar kesannya jika kita tersalah memilih pemimpin, terutamanya dari parti yang tidak amanah dan gagal melaksanakan amanah dengan jujur serta telus.
Kesan memilih pemimpin ini bukan setakat perkiraan jalanraya baru berturap, bukan juga habuan ringgit sementara yang kita dapat semasa pilihanraya semata-mata, tetapi kesannya akan turut dirasai oleh anak cucu kita di waktu yang akan datang. Apatah lagi sekiranya perkiraan dosa pahala kita masukkan, tentunya urusan memilih wakil rakyat adalah satu agenda yang sangat penting.