Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang(gambar) menegaskan orang Melayu tidak patut risau kerana “kuasa politik orang Melayu masih lagi di tangan orang Melayu.”
Hadi membuat penegasan itu dengan mengambil kira bahawa orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini.
Bulan lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa kali mendakwa orang Melayu negara ini akan dipinggirkan dalam kuasa politik, sekali gus menjadi kuasa minoriti sebagaimana disaksikan di Singapura.
Membicarakan soal sokongan masyarakat Melayu, Hadi bagaimanapun menimbulkan persoalan sama ada orang Melayu bersama dengan Umno ataupun dengan PAS.
“Soalnya adakah orang Melayu bersama dengan Umno atau bersama dengan PAS?" kata Hadi.
Hadi berkata sekiranya sokongan masyarakat Melayu mengalir kepada parti Islam terbesar tanahair itu, maka tidak timbul isu kuasa politik Melayu.
“Sekiranya orang Melayu bersama dengan PAS, orang Melayu tetap menjadi teras politik,” kata Hadi.
