Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

05 September 2013

Malaysia masih perlu ‘merdeka’ daripada Umno


Sememangnya Malaysia sudah merdeka, tapi masih perlu bebas daripada Umno BN. Sejarah menceritakan segala-galanya. Jika sejarah diteliti, kita akan dapati bahawa Umno BN ini sebenarnya bukanlah parti orang Melayu, tetapi Parti British berbangsa Melayu. Orang-orang Melayu diperalat untuk kepentingan “pewaris” takhta penjajah ini.

Mereka gagal mempertahankan kepentingan orang Malayu. Perlembagaan yang kita guna pada hari ini, segala akta draconian yang dilaksanakan, sebenarnya adalah antara warisan penjajah yang sangat hebat dipertahankan oleh Umno BN. Tulisan jawi dihapuskan, Bahasa Inggeris dimartabatkan, malah terus-menerus diam dalam menyatakan ketegasan terhadap isu Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Mesir.


Hari ini, seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit untuk satu lagi perjuangan kebebasan, iaitu perjuangan membebaskan Malaysia daripada Umno BN. Mereka adalah petualang di muka bumi ini. Rakyat dizalimi dan ditindas. Paling ketara, maruah rakyat tergadai dek RM500, sedang kepahitan yang ditanggung adalah 5 tahun lamanya. Selama 55 tahun merdeka, nilai kepentingan rakyat di sisi Umno BN hanyalah RM500, itupun digula-gulakan.

Hakikatnya, penderitaan yang dialami oleh rakyat sudah lama bermula. Kini, ianya semakin bertambah. Kenaikan harga barang, pelbagai cukai dikenakan kepada rakyat bahkan hak untuk mendapatkan biasiswa kini menjadi punca utama anak muda berdepan dengan risiko muflis.

Sistem pendidikan negara kucar-kacir, bermula dengan penghapusan tulisan jawi (tulisan asal bahasa ibunda), memartabatkan Bahasa Penjajah, kini dengan pelbagai sistem yang karut menyebabkan potensi anak-anak merosot dan membimbangkan. Tidak kurang, tumbuh pula bagai cendawan pusat perniagaan ilmu, iaitu universiti yang hanya memikirkan tentang keuntungan.

Terbaru, kenaikan harga minyak yang mendadak, sebanyak 20 sen seliter. Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Automotive Association, pada 2010 ialah sebanyak 536,905 buah kenderaan. Jika diambil purata setiap kenderaan (termasuk kenderaan berat) menggunakan hanya 10 liter sehari, maka jumlah kenaikan harga minyak ini mencecah RM1 juta sehari.

Kenaikan harga minyak bukanlah isu utama yang membangkitkan kemarahan rakyat, namun isu utama yang sebenar ialah kelemahan dan kegagalan urus tadbir negara yang sangat membimbangkan. Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, dalam masa yang sama Malaysia juga gagal mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

Pelbagai sektor utama seperti penyelidikan dan pendidikan tidak diberikan bantuan secukupnya, sedangkan syarikat-syarikat besar tempatan dan luar negara dipelihara dengan sebaiknya, sehingga ada yang dikecualikan cukai selama 10 tahun.

Atas alasan apakah, rakyat Malaysia perlu menanggung beban hutang lebih setengah trilion akibat sifat boros dan kegagalan urustadbir Umno BN? Atas alasan apakah, rakyat terpaksa menanggung beban inflasi sedang pemimpin Kerajaan terus-menerus meningkatkan beban hutang Negara.

Tidak cukup dengan isu ekonomi, perpaduan Nasional juga teruk terjejas disebabkan oleh sentiment kebangsaan yang sangat tebal dalam Umno BN. Sejak Negara masih belum merdeka lagi, kita sudah pun menerima kaum cina dan india sebagai jiran.

Mengapakah tempoh yang begini lama masih belum dapat membuang prejudis dan prasangka antara kaum dan agama di Malaysia? Muncul pula filem “Tanda Putera”, seolah ingin menanam sejarah palsu yang hanya akan memanjangkan sengketa?

Jadilah kita bangsa Malaysia yang benar-benar merdeka, akal, jiwa, akal dan raga. Sudah sampai masanya kita bebaskan Malaysia daripada cengkaman Umno BN yang sama sekali tidak pernah simpati dengan nasib rakyat. Ayuh bangkit, selamatkan Malaysia!-Hrkhdaily

Penulis ialah Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...