Negara ini penuh penipuan dengan cerita-cerita dongeng dan sandiwara oleh golongan politik. Seolah-olah Negara ini milik mak bapak mereka dan bukan milik rakyat. Mereka angkut hasil bumi dalam semua bentuk penipuan untuk kepentingan golongan yang "BERHORMAT". Rakyat ditipu dengan janji-janji manis untuk meraih undi setiap kali pilihanraya. Pemimpin-pemimpin ini seharusnya ditolak oleh rakyat...
Another Templates
22 Oktober 2012
Isu Musa Aman akan selesai selepas pilihanraya
Isu RM40 juta yang dirampas oleh penguasa Hong Kong beberapa ketika dahulu tetap menjadi isu ramai terutamanya di Sabah dan seluruh negara amnya. Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, yang dikatakan empunya kepada wang itu telah menafikannya yang wang sejumlah itu bukan untuk beliau tetapi untuk sumbangan kepada parti UMNO yang sehingga hari ini tidak diberitahu siapakah penyumbangnya.
Nazri Aziz telah menjawab isu ini di Parlimen pada 11 Oktober lalu dan beliau telah memberitahu Dewan Rakyat yang wang itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO. Peguam Negara pun telah memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa kerana beliau mengatakan yang tidak ada kes terhadap Musa Aman. Najib tidak memberikan apa-apa komen tetapi hanya menyatakan UMNO tidak bercadang untuk memberitahu siapa penderma itu.
Saya selalu berkata rakyat tidak perlu membuat apa-apa tindakan kerana di negara ini yang berkuasa adalah kumpulan yang sentiasa terlepas daripada tuduhan. Mereka mempunyai kuasa dan tidak ada siapa yang boleh membuktikan pembabitan mana-mana pembesar negara kerana mereka adalah ‘supreme’ dan tidak boleh dibawa ke tengah oleh sesiapa juga termasuk Peguam Negara kita yang begitu ‘controversial’ imejnya di mata rakyat bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.
Undang-undang digubal bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk menutupi kebenaran. Mereka yang berkuasa menggunakan undang-undang untuk kepentingan pihak yang berkuasa dan berpengaruh. Itulah sebabnya rakyat tidak mahu lagi mengambil tindakan melalui undang-undang tetapi sebaliknya mahu mengambilnya dengan cara politik. Maka rakyat sudah begitu ramai yang telah memutuskan untuk membetulkan keadaan ini dalam pilihanraya yang akan datang.
Jika kita hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah rasuah ini mungkin ia memakan masa lima puluh tahun untuk menyelesaikan semua kes-kes ini. Setiap peringkat kerajaan BN hari ini disaluti oleh budaya rasuah yang tidak mungkin dapat diselesaikan sampai bila-bila jika mereka yang berkuasa sekarang ini masih berkeliaran di Putrajaya itu. Masing-masing dalam kerajaan pada hari ini tidak mahu mengambil tindakan kepada sesiapa termasuk mereka di dalam badan undang-undang. Masing-masing mempunyai saham dalam kegiatan rasuah ini.
Cara terbaik ialah dengan mengambil alih pentadbiran dengan cara terhormat ia itu melalui pilihanraya yang bakal tiba ini. Jika ‘legal cheating’ oleh pihak BN dapat dielakkan, ramai berkeyakinan yang BN akan duduk di pihak pembangkang selepas sahaja pilihanraya ini berlaku.
Ibarat bermain gasing, bergilir-gilir memusing dan memangkah. Selama ini hanya pembangkang sahaja yang memusing dan dipangkah oleh BN sejak 55 tahun dahulu. Kali ini biarlah BN pula yang memusing dan PR pula yang memangkah.
Sesungguhnya isu Musa Aman ini akan selesai jika rakyat Sabah yang sedar mampu bersatu untuk menolak parti yang beliau pimpin di sana.
Aspan Alias.Net
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan