Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

27 Julai 2012

Wanita KEADILAN lancar kempen ‘Tolak Najib’



Wanita KEADILAN akan melancarkan kempen ‘Tolak Najib’ serentak di seluruh negara pada Sabtu ini.
Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin berkata, ia ekoran kegagalan Perdana Menteri itu berperanan selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggantikan Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Katanya, selepas tiga bulan memangku jawatan itu, Najib gagal mengemukakan pelan tindakan untuk hala tuju pembangunan wanita.

“Matlamat 30 peratus wanita di peringkat pembuat dasar juga tidak jelas dan tunggang langgang, walaupun pelbagai latihan dan kursus diberi kepada calon.


“Apakah ia berguna jika jurang gaji antara gender dan proses pemberdayaan kepimpinan wanita tidak dilaksanakan?” soalnya pada sidang media di ibu pejabat parti, di sini.


Ahli Parlimen Ampang itu berkata, jutaan dana yang dibelanjakan KPWKM sejak 2008 di bawah pelbagai dasar dan polisi sehingga kini tidak diketahui pencapaian dan hasilnya.

“Penghinaan Najib mencapai kemuncaknya apabila gagal melantik Menteri KPWKM dari kalangan Ahli Parlimen Wanita BN dan tanpa segan silu memangku jawatan itu seterusnya mengecilkan lagi penglibatan wanita di peringkat Parlimen,” kata beliau.

Wanita Pakatan Rakyat sebelum ini melancarkan Agenda Wanita Malaysia sebagai pelan pembangunan mengangkat martabat wanita jika berjaya menawan Putrajaya.

Najib pada 7 April lalu, mengumumkan beliau memangku jawatan Menteri Wanita, selepas Shahrizat tidak dilantik semula sebagai senator ekoran penglibatannya dalam skandal projek lembu kebangsaan.

Zuraida turut mempersoal kemampuan Najib mengetuai KPWKM kerana beliau memegang pelbagai jawatan lain seperti Menteri Kewangan, Pengerusi Khazanah Nasional dan Pengerusi 1MDB.

“Justeru, saya mewakili Wanita KEADILAN khasnya dan wanita Malaysia amnya menyeru Najib mengemukakan segera calon Menteri KPWKM dari kalangan wanita.

“Sejajar dengan gimik GTP (Program Tansformasi Kerajaan) beliau, Najib juga perlu segera bentangkan pelan hala tuju pembangunan wanita Malaysia untuk jangka pendek, sederhana dan panjang,” kata Zuraida.

Pelancaran kempen itu bermula dengan pengedaran risalah ‘Hanya Untuk Wanita’ di bandar-bandar utama diikuti kawasan pedalaman.

Hadir sama dalam sidang media itu, Naib Ketua Wanita, Norsham Abu Samah; Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau dikenali Dayangku Intan; Ketua Srikandi, Siti Aishah Sheikh Ismail dan Timbalannya, Juwairiya Zulkifli serta Ahli Jawatankuasa Srikandi, Maisuri Zainal.-Keadilan daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...