Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

08 Mac 2012

Saman: Shahrizat digesa angkat 'bendera putih'


Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan mereka terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Jalil pada 9 Mac ini di Mahkamah Jalan Duta.

Zuraida berkata, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan mereka jika Shahrizat meneruskan tuntutan saman tersebut selepas mahkamah mendengar pembelaan mereka.


"Saya dan Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil memberikan keterangan sebagai saksi," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana, hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihatkan Shahrizat agar menghentikan hasratnya untuk meneruskan saman tersebut jika tidak mahu berhadapan tindakan mahkamah.

" Saya nasihatkan Shahrizat, angkat bendera putihlah. Kalau teruskan juga di mahkamah, dia sendiri yang akan susah sebab mahkamah akan panggil semua nama yang kami sebutkan untuk menjadi saksi," katanya.

Ahli Parlimen Ampang itu juga menambah, beliau yakin apabila Shahrizat dipanggil menjadi saksi, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

"Ini menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau dalam tuntutan saman," katanya.

Januari lalu, Sharizat yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memfailkan saman ke atas Zuraida dan Rafizi berhubung projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa, Zuraida dan Rafizi telah memfitnah dan memburuk-burukkan beliau.

Beliau yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah menuntut RM50 juta untuk ganti rugi am dan RM50 juta untuk ganti rugi teruk dan teladan.-Hrkhdaily.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...