Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

23 Mac 2012

Campur tangan Najib dalam kes Felda hina mahkamah

 
Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran berkata, kandungan minit mesyuarat antara Najib dan Felda menunjukkan wujud campur tangan serius dalam proses kehakiman dan boleh dianggap satu jenayah menghina mahkamah.

Menurutnya, kandungan minit mesyuarat itu jelas memperlihatkan kerajaan cuba mempengaruhi hakim dalam kes saman peneroka ke atas Felda.

“Ia perkara yang mengejutkan dan cukup merisaukan. Malah, sehingga hari ini Najib dan pihak kerajaan tidak memberi apa-apa penjelasan berkenaan dakwaan serius yang turut disokong bukti ini.

“Mahkamah harus mengeluarkan notis arahan kepada Najib untuk hadir memberi penjelasan mengapa beliau tidak patut didakwa menghina mahkamah,” kata Surendran yang juga merupakan seorang peguam.


19 Mac lalu, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution mendedahkan dokumen rasmi mesyuarat antara Najib dan pengurusan tertinggi Felda.

Butiran minit 7.9 dokumen tersebut menyatakan Najib mengarahkan pegawainya agar memastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER.

Beliau juga dipetik sebagai mengarahkan agar pegawainya memastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya.

Dalam kenyataan sama, Surendran turut mengulas tindakan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang hanya akan memberi penjelasan di Parlimen 26 Mac nanti berhubung pendedahan tentang campur tangan Najib itu.

“Ini adalah isu serius yang membabitkan kepentingan awam dan melibatkan integriti dan kebebasan badan kehakiman. Mengapa mereka harus menangguh jawapan mereka sehingga 26 Mac?” soal beliau lagi.

Beliau turut menggesa pihak polis dan SPRM untuk menyiasat sama ada wujud unsur salah guna kuasa.

“Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan berkenaan isu ini hanya akan terus menghakis keyakinan masyarakat terhadap mereka,” ujar Surendran lagi.-K/Daily
******************************************************************


 
KEADILAN dedah Najib campur tangan kes mahkamah Felda
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan wujud campur tangan Perdana Menteri dalam perbicaraan kes perahan minyak melibatkan peneroka dan Felda.
Beliau berkata, dalam dokumen rasmi mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Felda yang diperolehinya, Datuk Seri Najib Razak, telah meminta supaya hakim dan peguam yang mengendalikan kes berkenaan diberi kefahaman jelas mengenai Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit (KPG).
“Dokumen Mesyuarat Yang Amat Berhormt Perdana Menteri bersama Felda, bilangan 3, 2011, tarikh 27 Jun 201, tempat mesyuarat di Bilik Mesyuarat aras 4, Bangunan Parlimen Malaysia. Masa mesyuarat 3 petang.
Butiran minit 7.9 yang menyebut ‘bagi kes melibatkan perahan minyak di mana kedua-dua kes belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh. Pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER. Pastikan Felda menang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya’,” katanya ketika membacakan minit mesyuarat itu.
Beliau berkata, arahan Najib seperti terkandung dalam laporan itu menunjukkan campur tangan secara jelas pihak eksekutif dalam badan kahakiman negara.
Dengan campur tangan itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang bimbang hak peneroka mendapatkan keadilan di mahkamah berkaitan kes-kes melibatkan Felda akan dinafikan.
Felda sejak kebelakangan ini terus berdepan ratusan saman daripada peneroka berkenaan kes penipuan KPG.
Antara yang memfaikan saman termasuk 400 peneroka Felda Gugusan Chini, 113 peneroka Palong 9 dan sekumpulan peneroka di Felda Kota Gelanggi, Jerantut Pahang.
Selain berdepan dengan saman KPG,  Felda juga berdepan beberapa saman daripada NGO berkaitan bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...