Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

11 Februari 2012

Najib, Muhyiddin dicabar dedah perjanjian luar biasa NFC

KEADILAN mencabar Perdana Menteri dan Timbalannya mengarahkan pihak berkaitan supaya mendedahkan perjanjian pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp).

“Untuk merungkai segala persoalan ini, saya mengesyorkan supaya Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan NFC mendedahkan sepenuhnya perjanjian pinjaman RM250 juta itu kepada umum.

Rafizi sebelum ini mendedahkan pelbagai penyelewengan dilakukan NFC

“Ini supaya rakyat dapat menghakimi kewajaran kerajaan meluluskan pinjaman dengan syarat yang sebegitu longgar,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Wan Shahinur Izmir Salleh bahawa perjanjian pinjaman mudah itu tidak melarang NFC menggunakan dana untuk pelaburan yang tiada kaitan dengan industri ternakan lembu.

Menurut Rafizi, suami dan anak Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggunakan alasan itu untuk menggunakan wang berkenaan bagi tujuan peribadi termasuk mengumpulkan harta yang mahal seperti kondominium, tanah dan kereta mewah.

Terdahulu sebelum itu, bercakap kepada Keadilandaily, Rafizi berkata kenyataan Wan Shahinur itu hanya mengesahkan isu penyelewengan RM250 juta dana rakyat.

“Kita sudah syak lama ada perkara yang tidak betul apabila kerajaan memberikan kontrak kepada NFC.

Perjanjian itu bukan perjanjian biasa yang ditandatangani dengan syarikat, tetapi perjanjian luar biasa yang beri peluang sepenuhnya projek NFC diberikan kepada keluarga menteri.

“Kenyataan CEO NFC, mengesahkan bahawa ada unsur penyelewengan peringkat tertinggi yang melanggar syarat dan amalan biasa pekeliling perbendaharaan yang biasanya digunapakai,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar supaya perjanjian untuk pinjaman mudah itu didedahkan kepada umum.
“Biar rakyat meneliti sendiri apakah benar kerajaan telah meluluskan dana RM250 juta sebagai hadiah kepada keluarga menteri.

“Sebelum ini kita dah minta tapi tidak dilayan. Jadi kita minta perjanjian itu terus dikongsi dan biar rakyat menilai di mana kewajaran memberi RM250 juta untuk dibelanjakan sesuka hati oleh keluarga menteri,” kata Rafizi.
Pelaburan berkenaan merujuk pembelian harta berupa dua unit kondominium di Bangsar dan tiga lagi di Singapura selain kereta mewah dan dua lot tanah di Putrajaya.

Semua harta berkenaan diletakkan di bawah nama suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang juga Pengerusi NFC dan anak-anak mereka.
Jumlah keseluruhan harta peribadi keluarga Shahrizat yang ditampung dana NFC sehingga kini berjumlah RM62 juta.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...