Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

21 Jun 2011

Majlis Peguam gesa kerajaan guna Akta Hasutan terhadap Ibrahim Ali

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menggesa  kerajaan mengguna Akta Hasutan terhadap Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berhubung kenyataannya yang cuba mencetuskan ketegangan kaum.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bersifat ancaman oleh Ibrahim dengan menyatakan “apa saja boleh berlaku pada hari itu” jika Perhimpunan Bersih diadakan 9 Julai depan.
Walaupun secara dasarnya, Majlis Peguam tidak bersetuju akta tersebut, namun katanya jika kerajaan pernah menggunakan akta itu kepada Karpal Singh berhubung krisis perlembagaan di Perak, maka beliau tidak nampak mengapa kerajaan tidak boleh berbuat demikian terhadap Ibrahim.
“Kerajaan mestilah konsisten dan memberi layanan sama rata terhadap semua di bawah undang-undang,” kata Chee Wee yang dilaporkan Malaysiakini.

Majlis Peguam, katanya, mengecam kenyataan rasis Ibrahim itu sebagai langsung tidak bertanggungjawab dan tidak wajar.

“Perhimpunan lalu, termasuk Walk For Justice oleh Majlis Peguam, menunjukkan kita boleh mengadakan perhimpunan dalam cara yang tertib.
“Jika ada orang membuat masalah, ia  bagi polis untuk bertindak, bukan mengharamkan keseluruhan perhimpunan tersebut,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini semasa pelancaran ‘Gerak Aman’ semalam, penyokong Perkasa memijak dan membakar gambar pengerusi Bersih , Datuk Ambiga Sreenevasan, yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam.- K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...