Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

15 Julai 2010

Mohd Sabu - Kerjasama PAS/UMNO, Hanyalah Tipu Muslihat.

PAS diingatkan jangan terpedaya dengan tipu muslihat Umno yang menghulurkan tangan bagi mengadakan kerjasama antara dua parti itu.
Demikian tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu (gambar) kepada Harakahdaily ketika ditemui hari ini.
"Saya melihat mungkin ada pemimpin Umno ini yang duk fikir mungkin ada pemimpin PAS yang akan terpedaya dengan muslihat mereka, saya tegaskan ini satu tipu muslihat, jangan kita terperangkap dengan usaha ini," tegasnya.
Menurutnya, Umno memainkan isu itu dalam usaha untuk memecahbelahkan kesepaduan Pakatan Rakyat dan PAS selain mengusik pengundi bukan Islam agar lari dari PAS.
Umno, baginya tidak pernah senang dan sering menjalankan dakyah agar PAS ditolak oleh bukan sahaja Melayu malah bukan Melayu.
Memandangkan PAS telah diterima bukan Melayu dan Melayu hari ini, Umno merasa 'gelabah' dan sengaja memainkan semula lagu lama itu untuk menjatuhkan PAS sebenarnya, katanya lagi.
Bersama dengan hujah beliau itu, seorang lagi AJK PAS Pusat, Hanipa Maiden juga menyeru agar kepimpinan dan ahli 'jangan layan atau peduli' dengan tawaran yang dibuat Umno itu.
Beliau melihat, pelawaan itu tidak lebih sekadar strategi politik tatkala Umno semakin mula ditinggalkan oleh semua kaum di negara ini.
Sebaliknya rakyat hari ini mahukan politik baru yang mana ia tidak lagi berasaskan kepada sentimen perkauman ataupun pemikiran sempit seperti yang dijalankan Umno/BN, ujarnya.
Beliau sekali lagi mengulangi gesaan agar PAS tidak melayan sahaja pelawaan Umno tersebut malah mengganggap ia satu strategi untuk menjatuhkan PAS.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan PAS sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...