Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

30 Disember 2013

Tuduh dalang guling k'jaan, NGO mahu saman Amar Singh RM100 jut


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengambil tindakan saman terhadap Timbalan Ketua Polis Wilayah, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang mengaitkan mereka antara dalang himpunan guling kerajaan 31 Disember ini.

Pengasasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, tuduhan Amar Singh yang turut mengaitkan namanya itu adalah bersifat fitnah jahat serta cuba mengalih isu sebenar terhadap kemarahan rakyat akibat kenaikan kos hidup.

"Saya dengan ini mendesak fitnah ini ditarik balik oleh Datuk Amar Singh Ishar Singh dan permohonan maaf dituntut. Dia harus dedah apa sumber dia, dan dedah bukti gred A sekiranya ada.


"Saya dan SAMM akan menghantar notis undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan media-media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta ke atasnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Amar Singh pada satu sidang media mendedahkan kononnya empat NGO sebagai dalang utama himpunan 'menggulingkan kerajaan' malam sambutan tahun baru Selasa ini.

Beliau menamakan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jingga 13, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) serta beberapa individu yang dikatakan turut merancang menimbulkan kekecohan dengan menggunakan bom dan senjata.

"Datuk Amar Singh Ishar Singh kononnya ada maklumat dan sumber mengenai tuduhan itu. Namun pendedahan menjadi 'lawak' apabila dia umum himpunan guling kerajaan oleh NGO-NGO kecil ini hanya ratusan dijangka hadir.

"Saya kasihan dengan Datuk Amar Singh Ishar Singh, seorang pegawai polis kanan sanggup menjadi alat aparat dakyah regim," katanya lagi.

Menurut Badrul, himpunan Turun pada selasa ini adalah meluahkan rasa terhimpit rakyat dengan kenaikan kos hidup, ini berkait rapat dengan kegagalan pemerintah yang mungkir janji PRU tujuh bulan yang lalu, dan bukan mahu mengguling kerajaan seperti dituduh.

Ianya adalah anjuran rakyat yang pada awalnya mencadangkan di Facebook dan SAMM serta beberapa lagi NGO hanya menyambut persetujuan itu.

"Namun pemerintah yang menganggap kebangkitan kesedaran rakyat sebagai tekanan telah memulakan propaganda dengan memunculkan persepsi jahat terhadap himpunan protes kenaikan kos hidup sebagai 'himpunan guling kerajaan'.

"Maka media arus perdana digunakan sepenuhnya bagi mengalih isu dari kenaikan kos sara hidup kepada guling kerajaan," katanya-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...