Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

27 Mei 2013

Umno jangan berlakon, rakyat tolak politik ganas


Umno jangan berlakon dan mendakwa kononnya rakyat yang bersalah kerana parti itulah yang memaksa mereka turun ke jalan raya, kata Naib Presiden PAS, Datukl Mahfuz Omar.

Malah, katanya, penangkapan demi penangkapan tidak akan dapat meredakan kegelisahan rakyat terhadap perbuatan Umno yang merampas demokrasi dan keadilan.

"Apa yang berlaku ialah akibat perbuatan Umno sendiri.

"Jangan salahkan rakyat, Umnolah yang memaksa rakyat lebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keadilan yang dirampas oleh parti itu," katanya.



Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan, operasi penangkapan yang dilakukan atas kehendak pemimpin-pemimpin Umno bukan sahaja tidak akan melemahkan semangat rakyat untuk terus menentang kezaliman malah akan menambahkan lagi kemarahan dan sakit hati mereka terhadap kerajaan minoriti Umno.

Selepas aktivis mahasiswa Adam Adli dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin, beberapa pemimpin politik dan aktivis yang lain termasuk Ahli Parlimen Batu Tian Chua, aktivis PAS Datuk Tamrin Tun Ghafar dan aktivis sosial Haris Ibrahim pula telah ditangkap di bawah Akta Hasutan.

Mahfuz juga menyifatkan perhimpunan rakyat di hadapan dan berdekatan Lokap Berpusat Jinjang sejak Adam ditahan di situ membuktikan komitmen dan keazaman mereka menolak politik ganas Umno.

"Kezaliman Umnolah yang memaksa rakyat yang menolak politik ganas mengadakan perhimpunan aman di jalan raya di hadapan dan berdekatan lokap itu," katanya.

Mahfuz berkata, rakyat telah membuktikan mereka memang menolak politik ganas dan tidak mahu politik ganas serta lebih sukakan proses demokrasi apabila mereka bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Malangnya, Umnolah yang menyebabkan mereka hilang keyakinan kepada undang-undang dan merasa sangat tertipu dengan pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih," kata beliau.

Beliau mengingatkan. jika undang-undang disalahgunakan oleh Umno untuk kepentingannya sendiri dan pilihan raya pula dicemari sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri pun tidak benar-benar berani mempertahakan integriti pilihan raya umum yang lalu, perkara itu mengakibatkan rakyat tidak ada pilihan lagi.

"Rakyat ingin hidup aman damai tetapi Umnolah yang memaksa mereka bangkit menuntut hak asasi mereka dengan lebih tegas akibat tindakan parti itu menyalahgunakan undang-undang dan menafikan keadilan kepada rakyat.

"Tidak cukup mengapi-apikan perkauman, undang-undang juga semakin disalahgunakan," katanya.-Harakahdaily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...