Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

17 Jun 2011

Ramai ahli akademik menikus, kuat ‘mengipas’ – Prof Dr Aziz Bari


Ramai golongan cendikiawan atau ahli akademik di negara ini  bersikap membisu dan tidak berani menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu, terutama melibatkan kepentingan rakyat.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia disebabkan budaya mengampu yang begitu menebal di kalangan mereka dan ketakutan sekiranya terlepas jawatan atau kenaikan pangkat.
“Ketakutan ini sudah merebak ke mana-mana; dari istana sampai ke badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya, universiti, syarikat kerajaan (GLC), JKKK, pegawai agama dan lain-lain.

“Di universiti pun begitu; amat ramai profesor yang menikus kerana mereka mimpi dan melobi jawatan; nak jadi naib canselor, rektor, timbalan naib canselor, dekan dan macam-macam lagi.
“Ada yang berangan-angan nak dapat gelaran tan sri, datuk, nak jadi anggota majlis itu dan ini. Yang sudah pencen berangan-angan hendakkan kontrak perkhidmatan mereka disambung dan macam-macam lagi.
“Tetapi punca besar ialah kerana mereka tahu mereka tak layak, tak cukup ilmu dan mereka mendapat kedudukan itu kerana mereka kuat mengipas dan membisu, ” kata Aziz kepada Keadilandaily.com.

Takut ‘tiang’,  ‘pintu’ pun lapor Pejabat PM
Aziz berkata, disebab budaya takut kepada Umno dan agensi yang diwujudkan kerajaan, ramai golongan cendikiawan termasuk di universiti tempatan merasakan pangkat dan kedudukan mereka tergugat, sekiranya bersuara terhadap sesuatu isu.
“Mereka takut kerana mereka berasa Umno dan agen-agen mereka berada di merata tempat.
“Mungkin mereka berasa yang tiang dan pintu pun boleh melaporkan apa yang mereka kata kepada pejabat perdana menteri.
“Sebab itu mereka takut untuk ikut peraturan yang ada, bagi mereka apa yang perlu ialah mereka berbuat sesuatu yang mereka fikir akan menyeronokkan pemimpin Umno,” kata pakar perlembagaan itu lagi.
Ketika ditanya mengenai masyarakat yang semakin hilang rasa hormat terhadap golongan intelektual ini, Aziz berkata, ia sudah tidak penting lagi kepada mereka.
“Mereka tidak peduli orang hormat atau tidak. Bagi mereka, yang penting dapat apa yang mereka mahu dan dinobatkan jadi tokoh itu dan ini, jadi profesor ulung dan sebagainya,” ujar beliau lagi.
Menurut Aziz, majoriti profesor di universiti umpamanya lebih selesa untuk ‘duduk diam’ atau menyokong kerajaan, daripada bersikap kritis terhadap sesuatu isu.
“Nak sebut yang salah apa lagi lah. Nak sebut yang betul – tanpa menyalahkan – pun tak berani,” ujar beliau.
Ditanya apakah saranan beliau kepada golongan berkenaan, Aziz berkata “Biarkan mereka terjun dengan labu-labu mereka”.
“Lagipun lebih penting, kembali kepada rakyat; kepada mereka yang komited dan kita kena pantau mereka; jangan nanti bila tukar kerajaan mereka datang (kepada pembangkang) pula dan mengatakan dulu mereka sokong (dalam hati).
“Bila (Pakatan) menang (pilihan raya)  nanti jangan biarkan budaya mengampu ini berterusan,” katanya.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...