Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

08 Jun 2011

Kuasa undi anak muda boleh tawan Putrajaya


Pemuda PAS Kelantan kini mempergiatkan usaha mendaftar anak-anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih bagi mencapai matlamat melangkah ke Putrajaya.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) berkata, tanpa ada usaha secara serius sasaran menguasai Putrajaya tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu katanya golongan muda perlu diberi kesedaran bagi membolehkan mereka menggunakan peluang yang berbaki sekarang mendaftar sebagai pemilih.


“Peluang yang ada sekarang perlu direbut anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih. Tanpa disenarai sebagai pemilih mereka tidak mampu melaksanakan tanggungjawab besar menafikan kuasa politik Barisan Nasional (BN) sekarang.

“Saya berharap jentera pemuda di seluruh jajahan mengesan anak-anak muda yang belum mendaftar sebagai pengundi,” ujarnya di sini.

Menurutnya pendaftaran perlu dibuat segera bagi membolehkan anak muda melaksanakan tanggungjawab demi masa depan mereka.

“Anak muda yang mencecah umur 21 tahun hendaklah beramai-ramai mendaftar sebagai pemilih. Mereka menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

Kata beliau sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan hujung tahun ini, pengundi baru masih berpeluang mengundi memandangkan proses pendaftaran sebagai pemilih dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

Beliau yang juga Adun Mengkebang berharap jentera Pemuda di setiap kawasan memikul tanggungjawab bagi menyedarkan anak muda yang belum berdaftar.

Abdul Latiff juga bimbang usaha pihak tertentu menggunakan jentera kerajaan bagi mendaftar warga asing sebagai pemilih seperti yang dibongkar di Selangor baru-baru ini.-Hrkhdailynet

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...