Sejak hari pertama perbicaraan kes Fitnah II berlangsung, semua jentera kerajaan digunakan untuk memastikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Ini kerana sekiranya Anwar bebas, ia menandakan Barisan Nasional (BN) bakal tersungkur tidak lama lagi.
Demikian dinyatakan, P Ramakrishnan, Presiden Aliran Kesedaran Negara (Aliran), sebuah gerakan pelbagai etnik berpusat di Pulau Pinang yang memperjuangkan reformasi dalam sistem keadilan, kebebasan dan perpaduan.
Ramakrishnan menyatakan pendapatnya itu dalam rencana terbarunya berjudul “Anwar akan dipenjarakan – walau apa cara sekalipun” dalam laman web gerakan itu.
Menurut Ramakrishan, perkara paling menghairankan setakat ini adalah keengganan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada terus menghakimi perbicaraan itu walaupun diminta berbuat demikian sebanyak tiga kali oleh peguambela.
“Perkara yang paling menghairankan adalah keengganan Hakim Zabidin menarik diri daripada terus menghakimi perbicaraan itu. Sebaik sahaja tertuduh merasakan dirinya tidak dihakimi dengan adil, itu sudah cukup untuk memastikan hakim ditukar bagi memastikan tertuduh memperoleh keadilan yang sewajarnya,” kata Ramakrishnan.
Satu lagi soalan penting yang masih belum terjawab sehingga kini, katanya, adalah persoalan mengenai DNA Anwar yang diperoleh pada tahun 1998, tidak digunakan polis untuk proses mengenalpasti DNA Anwar pada bukti yang diperolehi.
Menurutnya, polis memerlukan bukti DNA baru untuk mensabitkan Anwar kerana jika DNA tahun 1998 digunakan, konspirasi untuk memfitnah Anwar akan terbongkar.
Selain daripada polis, rakyat juga percaya bahawa mahkamah bersekongkol untuk menafikan akses Anwar kepada beberapa dokumen penting walau pun mahkamah sepatutnya memastikan tertuduh memperolehi perbicaraan yang adil.
“Apabila seorang individu mendakwa menjadi mangsa rancangan jahat polis, mahkamah perlu memberikannya akses kepada dokumen penting yang diperlukan untuk mempertahankan dirinya. Berlawanan dengan amalan keadilan ini, mahkamah menafikan Anwar maklumat ini,” kata Ramakrisnan.
Beliau turut mempersoalkan sebab laporan perubatan daripada Hospital Pusrawi yang ditandatangani Dr Mohamed Osman tidak pernah digunakan di mahkamah sehingga ke hari ini.
Laporan itu mengesahkan Saiful tidak pernah diliwat sesiapa pun sewaktu beliau membuat laporan polis kononnya diliwat Anwar.
Menurut Ramakrishnan, orang ramai juga tertanya-tanya apakah penghakiman akhir yang akan disampaikan Hakim Zabidin kerana sekarang lagi beliau sudah menyimpulkan kononnya Saiful adalah saksi berwibawa dan boleh dipercayai.
Zabidin juga membuat kesimpulan keterangan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur mengesahkan terdapat penetrasi menggunakan pelincir, serta tiada kemungkinan bukti telah diubahsuai dan kesemua bukti yang dikemukakan saksi juga amat kukuh.
“Jika ada sebarang penemuan yang bercanggahan (dengan kesimpulannya), ia pasti menjejaskan kesimpulan dibuatnya yang membuatkan beliau memerintahkan Anwar untuk membela diri,” kata Ramakrishnan.-KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan