Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

22 Jun 2011

Perkasa jejas keharmonian rakyat


Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar) hari ini menghantar notis pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat P.18 untuk mengemukakan usul mengenai kenyataan Presiden Perkasa yang menimbulkan perasaan takut di kalangan rakyat.

Katanya, pada 19 Jun lepas, Presiden Perkasa telah mengeluarkan kenyataan bertujuan untuk menimbulkan kegelisahan umum dengan mengingatkan sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini pada 9 Julai ini, maka orang-orang Cina terpaksa membeli stok makanan.


“Dan kata-kata ini sengaja dilakukan untuk menimbulkan perasaan takut rakyat serta berupaya menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum negara ini,” ujarnya di dalam usul tersebut.

Menurutnya, penganjur Bersih tidak pernah sesekali mengeluarkan kenyataan tentang pergaduhan atau keganasan.

Tambahnya, mereka hanya bercakap mengenai isu kebersihan dan ketelusan perlaksanaan pilihan raya di negara ini dan ingin menggunakan perhimpunan ini untuk menunjukkan manifestasi rakyat yang tidak berpuas hati tentang perlaksanaan PRU selama ini.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor berkata, ini bukanlah kali pertama, Presiden Perkasa memberikan ucapan berbaur perkauman yang mengajak rakyat untuk bergaduh sesama sendiri.

“Namun, sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh pihak polis bagi menghalang beliau dari terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang, tidak pernah seorang individu yang berkelakuan seperti itu terlepas dari undang-undang dan tindakan itu merupakan sesuatu yang serius.

Malahan, ujarnya budaya perkauman atau asabiyah itu tidak dianjurkan oleh Islam.

Beliau memetik bahawa Nabi Muhammad pernah bersabda, yang bermaksud: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

“Berdasarkan alasan di atas, insiden sebegini mencerminkan aspek keselamatan dan keharmonian telah terjejas.

“Oleh kerana 9 Julai semakin hampir, maka ia perlu dibahas dengan serta-merta dalam usaha menghindari keselamatan negara dan rakyat terancam dan mendapat mudarat oleh kerana sikap begini dan saya berharap agar usul ini dapat dibahaskan oleh semua Ahli Dewan,” ujarnya.-K/Daily

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...