Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) mensasarkan sekurang-kurangnya 60,000 untuk menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini.
Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, hasil tinjuan dan promosi yang diadakan, sokongan dan minat masyarakat khususnya golongan muda amat menggalakkan.
“DPPWP menetapkan sasaran seramai 60,000 anak-anak muda Kuala Lumpur akan menyertai himpunan kali ini.
“Bahkan, DPPWP masih mendapat respon positif dari ramai orang yang ingin menyertainya termasuk mereka yang akan datang dengan berkeluarga,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, terdapat juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang turut menunjukkan minat untuk hadir bersama-sama menjayakan perhimpunan itu.
Sementara itu di Kelantan pula, Pemuda Pas dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), akan menghantar kira-kira 30,000 peserta pada program berkenaan.
Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, setiap kawasan di Kelantan dijangka menghantar 1,000 peserta pada perhimpunan tersebut.
”Ini bermakna Pemuda PAS Kelantan menyumbang seramai 14,000 peserta bagi mencapai matlamat menghimpunkan ratusan ribu rakyat pada perhimpunan aman tersebut,” katanya seperti dilapor Harahkahdaily.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan