Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

19 Jun 2011

Pemuda tidak akan undur walau setapak

MUBARAK mendesak kerajaan agar menangkap perancang Himpunan BERSIH 2.0 di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri [ISA].

Ini satu ugutan yang keterlaluan dan melanggar lunas demokrasi.

Saya nasihatkan MUBARAK agar tidak menjadi Husni Mubarak 2.0 yang suatu ketika dahulu bermaharajalela dan menangkap siapa sahaja yang menentang beliau tanpa sebarang bicara.


Mereka mahu ugut siapa? Kami sudah menegaskan kepada semua bahawa kami hanya akan berhimpun secara aman dan menunjuk perasaan kami membantah sistem demokrasi yang masih pincang dan mendesak supaya beberapa tuntutan kami yang mewakili sebahagian besar rakyat diterima dengan baik oleh pihak kerajaan. Apa masalah MUBARAK? Apa masalah kerajaan? Untuk tidak menunaikan permintaan sebahagian rakyat biar pun tidak semua rakyat dalam negara ini membuat tuntutan serupa, justeru apa yang kami minta adalah untuk keadilan dan ketelusan.

Kita tidak minta lebih. Kita tidak meminta suatu yang merugikan mana-mana pihak termasuk kerajaan. Apa yang kita minta ialah padang yang sama rata, alat yang serupa dan suasana yang mengizinkan ketelusan berlaku dan dilihat berlakunya ketelusan dalam sistem demokrasi khasnya sistem pengendalian pilihanraya dalam negara ini.

Setelah permintaan kita selama ini gagal dilayan dengan baik oleh pihak berwajib, himpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai langkah untuk menunjuk perasaan dan menarik perhatian bahawa permintaan kita adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mereka.

Cara mahu menangani Himpunan BERSIH 2.0 ialah dengan mengawal himpunan ini agar tidak terdedah kepada provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab dan menunaikan permintaan rakyat tersebut. Bukan dengan ugutan dan tangkapan. Jika ugutan dan tangkapan itu mereka fikir boleh menakutkan rakyat, maka saya fikir mereka silap dan 1001 kali silap.

Insya Allah, saya sendiri akan berada di saf hadapan dan jangan fikir ISA itu boleh mengendurkan semangat saya dan melemahkan kesungguhan saya apalagi mahu menakutkan saya.

Saya yakin ini adalah perjuangan rakyat yang mahu menuntut kebenaran, keadilan, ketelusan dan kejujuran dalam sistem pengendalian demokrasi negara dan ia adalah suatu yang dituntut oleh Islam justeru Islamlah pelopor keadilan, ketelusan dan kejujuran ini.

Saya menyeru semua rakan-rakan anak muda dari seluruh negara agar gembira dan tenang. Himpunan BERSIH 2.0 adalah untuk keamanan dan kesejahteraan negara. Rakyat juga tidak perlu resah, peniaga tidak perlu bimbang dan orang ramai tidak usah gundah, himpunan ini aman jika mana-mana pihak termasuk pihak polis tidak mencetus provokasi. Saya yakin, yang rasa tidak aman ialah UMNO dan BN, yang resah ialah UMNO dan BN dan yang gundah ialah UMNO dan BN.

Malaysia bukan negara polis. Maka usahlah kerajaan menangani masaalah rakyat dan tuntutan mereka dengan kekerasan dan tangkapan. Tapi, kalau kerajaan fikir mereka mahu jatuh cepat dari jadual yang telah ditentukan, silakan lah berbuat sesuka hati. Saya tidak boleh jamin apa-apa.

Saya menyeru buat kesekian kalinya, datanglah ke Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011 nanti dengan happy dan enjoy membawa semangat Visit Day dan Kuala Lumpur adalah destinasi anda kali ini.

Melanconglah dalam negeri. Bukankah ini slogan kerajaan? Pelancongan pada 9 Julai 2011 ini adalah bertemakan Keadilan dan Ketelusan di samping menikmati Kota Raya negara kita sendiri.

Datang jangan tak datang. Saya tunggu anda semua pada 9hb Julai 2011 kelak. Salam perjuangan dari saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...