Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

25 Mac 2011

Video Seks: UMNO Cuba Lempar Batu Sembunyi Tangan.


Sebelum mengadakan sidang media mereka semalam (Rabu,23 Mac 2011) untuk membuat pengakuan bahawa mereka adalah dalang video seks yang kononnya membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk T (atau Datuk Trio – Rahim Thamby Chik, Shazril Eskay Abdullah dan Shuaib Lazim) pergi menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Rekod Parlimen mengesahkan kehadiran mereka itu. Kebetulan juga Najib ada mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno di bangunan berkenaan. Apakah tujuan mereka menemui Najib itu boleh mendorong umum untuk membuat pelbagai spekulasi dan rumusan.


Ini kerana semalam memang hari kelam kabut bagi Umno. Apakah mereka berjumpa Najib meminta nasihat atau arahan apa yang hendak disebut dalam sidang media? Atau, adakah mereka cuma hendak memaklumkan kepada Najib apa yang telah mereka lakukan kerana Najib sebelum itu kononnya tidak tahu?

Pendedahan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul pada sebelah pagi semalam berhubung siapa Datuk T dan siapa lagi yang terbabit dalam penayangan video lucah berkenaan kepada wartawan Isnin lalu benar-benar menyerlahkan sikap dan belang Umno.

Apabila nama veteran Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang memang mempunyai reputasi kurang baik dalam soal seks disebut dan bapa mertua seorang Naib Presiden Umno didedahkan sebagai dalang pembikinan dan penayangan video berkenaan, bercemperalah Umno mencari tempat berlindung dan cuba menjarakkan diri daripada gerombolan yang berkelakuan jelek ini.

Seperti lazimnya, apabila maruah Umno dipertikaikan, bukan Presiden, Timbalannya, Setiausaha Agung atau Ketua Penerangan Umno yang memberi reaksi, tetapi “ayam tambatan” parti itu, Nazri Aziz yang tampil. Beliau awal-awal lagi menyatakan Umno mempunyai lebih tiga juta orang ahli, dan agak mustahil bagi parti itu mengetahui dan boleh mengawal tindak tanduk ke semua mereka.

“Mereka bertindak demikian atas nama peribadi. Umno tidak mahu dikaitkan dengan kegiatan mereka,” kata Menteri Jabatan Perdana Menteri itu.

Sementara seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga pernah terpalit dengan kes jenayah seks, Datuk Seri Rais Yatim pula berkata, kes ini harus disiasat oleh polis the Peguam Negara.

“Siasatan ini perlu bagi memastikan tidak ada nama individu atau mana-mana parti politik diheret ke dalam isu ini dan difitnah,” kata Menteri Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi itu.

Soalnya mengapa kedua-dua veteran Umno ini tidak mahu nama parti mereka dikaitkan dengan isu pembikinan dan penayangan video itu? Tentu jawapannya mudah. Apabila umum mengenali mereka yang mengaku menjadi dalang – Rahim Thamby Chik, Shuaib Lazim dan Shazryl Eskay Abdullah – rakyat segera maklum bahawa mereka ini adalah ahli kanan Umno baik di segi politik mahupun urusan niaga dan kronisme.

Lantas adalah sukar untuk mengelak umum merumuskan betapa Umno memang tahu dan terbabit dalam kegiatan keji itu. Malah, Rahim sendiri mempunyai motif peribadi untuk menjatuhkan Anwar. Rahim tidak dapat mengawal perasaan bencinya terhadap Anwar dan mahu Ketua Pembangkang itu meletak jawatan seperti yang beliau pernah lakukan apabila dikatakan terbabit merogol gadis bawah umur pada tahun 1994.

Shuaib Lazim yang juga bapa mertua Naib Presiden Umno, Shafie Afdal adalah Bendahari Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan yang menjadi cermin pemikiran politik ekstrem Umno. Perkasa pun tidak mahu Anwar memimpin Pakatan Rakyat lantas memusuhi Anwar.

Meskipun presiden Perkasa, Ibrahim Ali cuba menjarakkan pertubuhannya dengan kegiatan buruk Shuaib itu, namun khalayak umum mudah menanggap bahawa kegiatan rendah moral itu memang ada kaitan dengan Perkasa dan Umno.

Jika yang terbabit itu adalah ahli biasa atau sekadar anasir upahan seperti dalam kes kontroversi membakar gereja, demonstrasi kepala lembu dan meletakkan bangkai khinzir di masjid, mudah Umno menangkis dan menafikan penglibatannya. Namun kali ini veteran Umno sendiri yang terbabit. Rahim adalah ahli politik memang yang tercicir dari barisan pimpinan Umno baik di peringkat nasional mahupun Bahagian kerana pelbagai dakwaan sumbang laku seks, tetapi kemudian dikutip semula oleh Najib dan diberi tugas mengepalai Risda. Lantas, agak luar biasa jika Najib dan pimpinan Umno, mahu mendakwa parti itu tidak terlibat. Malah tempahan hotel dibuat atas nama pegawai Risda.

Dari perspektif kerajaan pula, agak sukar dipercayai perisytiharan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein bahawa polis tidak terbabit dalam kes ini. Jika benar, mengapa hingga hari keempat adegan tayang video diadakan polis masih belum bertindak menahan ketiga-tiga Datuk Trio – Rahim, Shuaib dan Eskay – kerana memiliki dan menayangkan video lucah?

Mengapa polis terlalu hormat dan sopan menghadapi ketiga-tiga mereka? Polis tidak perlu menyiasat lanjut, mereka sendiri sudah mengaku menjadi dalang tayangan video kontroversi ini. Adakah sikap polis ini kerana mereka veteran Umno atau memang mereka diarahkan bersikap demikian?

Begitu galak ketiga-tiga mereka melakukan jenayah ini hingga Eskay berani membuat kenyataan mereka tidak akan menyerahkan rakaman video itu kepada polis. Sebaliknya mereka mahu sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat siapa pelaku dalam video berkenaan. Jika diukur daripada lagak mereka, dan kesantunan berlebihan polis, ia memberi isyarat bahawa segala amalan dan peraturan siasatan polis akan ditolak ke tepi kerana yang terbabit adalah veteran Umno. Lihat sahaja kes Fitnah Liwat 2 terhadap Anwar. Meskipun pegawai polis yang menyiasat mengaku di mahkamah tata-urus bahan bukti DNA tidak mengikut prosedur, ia tetap diterima dalam perbicaraan. Nampaknya apa yang dilakukan polis diterima pakai. Namun kini walau ditempelak Datuk T, bahawa mereka tidak akan menyerahkan video asal, polis masih boleh sabar dan bersikap lunak. Itu sifat polis, atau ada arahan supaya mereka berkelakuan demikian? Nampaknya cuma sepupu Najib, Hishamuddin yang tahu.

Bagaimana agaknya jika Suruhanjaya ditubuhkan? Sudah tentu isu siapa yang harus menganggotainya akan berlarutan. Bayangkan, Datuk T mahu wakil Perkasa dan Zaid Ibrahim jadi ahli suruhanjaya itu. Mereka adalah musuh Anwar. Bila kes ini berpanjangan, tentu lebih banyak fitnah lain akan dilambakkan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.

Tidak kah ini membuktikan Umno dan Perkasa “lempar batu sembunyi tangan”. Motif mereka jelas – runtuhkan kewibawaan Anwar! Matlamat mereka juga jelas. Jika Anwar tidak layak memimpin, sudah tentu cabaran Pakatan Rakyat akan lemah dan mudah dipatahkan Umno-BN. Memang penulis skrip konspirasi baru ini beerstatus amatur. Dalam tempoh singkat sudah tertonjol percanggahan fakta dan hasad dengki mereka terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat.-TVSNews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...