Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

22 Mac 2011

Henti Fitnah Inisiatif Baik Kerajaan Pulau Pinang, Kata Guan Eng


Kerajaan PR Pulau Pinang menggesa pemimpin Umno-BN menghentikan fitnah liar menggunakan media arus perdana seperti Bernama dan akhbar New Straits Times mendakwa kerajaan Pulau Pinang meminggirkan kawasan-kawasan yang dipimpin oleh ADUN BN dalam melaksanakan pembangunan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu sidang media di Parlimen hari ini berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak pernah dan tidak akan memulaukan mana-mana kawasan dalam membangunkan program wi-fi percuma seluruh negeri hanya kerana kawasan tersebut dikuasai oleh BN.

Beliau juga menegaskan kesemua 40 kawasan DUN Pulau Pinang akan mendapat khidmat wi-fi percuma tanpa mengira fahaman politik.

Jelas beliau, kerajaan negeri kini berada pada fasa terakhir perbincangan dengan syarikat pembekal servis Wi-fi, Red Tone Sdn Bhd.


Sebelum ini, akhbar New Straits Times mendakwa kerajaan Pulau Pinang telah meminggirkan kawasan-kawasan DUN BN dalam pemasangan 'hotspot' Wi-fi.

Guan Eng dalam kenyataan medianya menjelaskan, sebanyak 750 'hotspot' wi-fi telah dipasang di negeri tersebut oleh Red Tone tetapi syarikat berkenaan yang memberikan kesemua 750 'hotspot' percuma kepada kerajaan negeri, hanya mensasarkan kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Ini adalah kerana syarikat tersebut bergantung kepada trafik pengguna yang tinggi bagi menjana pendapatan melalui pengiklanan.

"Bagi membetulkan keadaan ini, kerajaan Pulau Pinang telah berbincang dengan syarikat tersebut bagi memasang tambahan 750 'hotspot' diseluruh negeri tersebut dengan memastikan kesemua kawasan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dipasang dahulu di mana kos peralatan dan pemasangan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri," kata beliau.

Katanya lagi, antara kawasan yang tidak dipasang sebelum ini termasuk Tasik Gelugor, Kepala batas, Nibong Tebal dan Bukit Gelugor.

"Di Bukit Gelugor, kawasan Karpal Singh pun tak ada. Karpal ialah Presiden DAP, mana saya berani pinggirkan Presiden? Tidak masuk akal langsung dakwaan mereka," kata beliau lagi.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan PR Pulau Pinang untuk memastikan liputan Wi-fi percuma untuk semua penduduk negeri tersebut telah dipesongkan kononnya kerajaan PR mendiskriminasikan penyokong BN negeri tersebut.-TVSNews

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...