Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, bukan menjadi rahsia bagi mana-mana agensi atau kementerian mengagihkan sesuatu kontrak atau tender dengan cara yang salah seperti dakwaan terbaru terhadap kementerian itu.
“Menteri Pelancongan, Ng Yen Yen boleh menafikan tetapi hakikatnya dunia tahu tentangnya. Rakyat juga tahu. Ketirisan akibat rasuah sebanyak RM28 bilion setahun bukan sesuatu yang menjadi rahsia lagi.
“Oleh sebab itu, SPRM perlu menyiasat perkara ini, kita tidak perlu pemimpin yang tidak jujur seperti ini. Wang yang di peroleh bukan milik individu tetapi wang daripada rakyat yang membayar cukai,” ujarnya.
Semalam, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Integrated Strategic Communications Sdn Bhd (ISC), Austen Zecha berkata, pihaknya membidas kenyataan Menteri Pelancongan , Datuk Seri Dr Ng Yen Yen baru baru ini yang mendakwa pemberian kontrak itu dilakukan secara telus.
ISC pada Januari lalu mengumumkan keputusan menarik balik tendernya terhadap satu kontrak selama tiga tahun selepas mendakwa proses pemberian tender meragukan dilakukan kementerian berkenaan.
Malah, Zecha mendakwa beliau dan timbalannya turut menemui ‘seseorang’ dari kementerian itu pada 19 Januari lalu supaya menawarkan Kementerian Pelancongan 50 peratus rebat atau sebahagian keuntungan daripada kontrak tersebut.
Sebagai balasan katanya, ISC akan menerima semula kontrak Tourisme Malaysia bagi kawasan Eropah, Amerika utara dan Oceania.
“Hal ini menyebabkan ISC mengambil keputusan menarik kembali tendernya pada rabu, 26 Januari,” kata Zecha.
Katanya lagi, ISC berpendapat tindakan itu menghina kredibiliti agensi berkenaan sekali gus menambah kecurigaannya mengenai proses pemberian tender oleh Kementerian Pelancongan.
Menurutnya, agensi itu juga sebelum ini diberitahu kementerian berkenaan bahawa syarikat itu boleh meminta bil dari kementerian pelancongan sebanyak RM3 juta pada 2009 dan 2010 untuk kontrak tiga tahun di Eropah, sedangkan jumlahnya adalah RM18 juta setahun.
“Ia hanya setelah pentadbiran Menteri ini (Ng Yen Yen), sebelum ini atau semasa syarikat sebelum ini pada tahun 1970-an, 80-an dan 90-an tidak pernah pihak Kementerian membenarkan ISC atau mana-mana syarikat untuk memberi bil bagi 1 per enam dari nilai kontrak tahunan, atau sebanyak kira-kira 17 peratus.
“Jadi apa yang berlaku kepada 83 peratus lagi dari kontrak bernilai RM 18 juta pada tahun 2009 dan 2010, dan siapa yang membenarkan serta mendapat keuntungan dari komisyen dan invois bernilai RM 30 juta dalam tempoh 2 tahun ini?” tambah beliau.
Sehubungan itu katanya, pihaknya telah membuat laporan kepada SPRM supaya kes itu disiasat.
Dilaporkan, pada 15 Mac tahun lalu, Ng Yen Yen membuat laporan polis ke atas sebuah blog yang mendakwa beliau memberi kontrak untuk mempromosi produk pelancongan kepada sebuah syarikat milik rakan baik anaknya dan menggunakan keuntungan dari komisyen itu bagi berkempen untuk pemilihan MCA.-Keadilandaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan