Rakyat Untuk Rakyat. Headline Animator

27 Mac 2011

Pak Kudus : DSAI Pejuang Rakyat Marhaen

Bila saya dizalimi tahun 1998, beliau tidak diundang, tetapi beliau datang menyatakan,’aku bertanggungjawab pertahankan keadilan dan kebenaran dan aku akan bersama kamu dalam perjuangan ini

Perjuangan untuk menentang rejim rakus dan zalim pasti menemui cabaran yang besar seperti yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu beliau mendeklamasikan sejak penyair terkenal, W.S Rendra berjudul RAJAWALI yang menyifatkan Anwar sebagai wira rakyat Malaysia persis burung rajawali terbang tinggi dan tidak mudah tunduk menyerah kalah.


“Sebuah sangkar besi tidak bisa mengubah rajawali menjadi seekor burung nuri. Burung nuri adalah burung yang mendengar cakap,” katanya.

Khalid bercakap di majlis mengenang pemergian ke rahmatullah Pak Kudus, Allahyarham Muayat Yusuf, Allahyarham Kamalbashah dan Allahyarham Pak Ali. Mereka adalah pejuang reformasi yang gigih.

Tambah Khalid, beliau mengikuti perkembangan Anwar Ibrahim dan Pak Kudus sejak 1970an lagi dan sebelum Pak Kudus meninggal dunia, beliau memberitahunya penilaian Allahyarham terhadap Anwar sebagai seorang pejuang rakyat marhaen.

“Allahyarham Pak Kudus memberitahu, Anwar Ibrahim memang pejuang rakyat. Saya mula mengenali perwatakan dan hati budinya semasa beliau dalam tahanan ISA tahun 1974. Anwar petah berhujah, bijak memberikan idea bernas dan tersusun, mempunyai daya kepimpinan yang berkarisma dan berjiwa luhur, serta mempunyai falsafah perjuangan yang mengutamakan kebajikan orang. Apabila Anwar datang berpidato, orang datang berpusu-pusu untuk mendengar ceramahnya dengan khusyuk,” katanya.

Ujar beliau lagi, rakyat seharusnya bangkit untuk menentang pemerintahan zalim termasuk fitnah jahat terbaru, pengedaran klip video seks.

“Kita mesti bangkit dan berjuang kerana sikap penguasa kini bertambah rakus dan melampau. Mereka bertindak mengikut sifat sifat yang tidak murni dan membuat tuduhan tidak masuk akal terhadap Anwar. Mereka juga memperalatkan seluruh jentera kerajaan dan para penjawat awam untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Terkini, adalah penyebaran fitnah video lucah,” katanya.

Pada majlis yang sama Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengenali dan dipantau oleh Allahyarham Pak Kudus sejak menjadi mahasiswa sehingga beliau menjadi menteri dalam kabinet Malaysia.

“Bila saya dizalimi tahun 1998, beliau tidak diundang, tetapi beliau datang menyatakan,’aku bertanggungjawab pertahankan keadilan dan kebenaran dan aku akan bersama kamu dalam perjuangan ini,” katanya.

Tambah Anwar, ujian dan serangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan bertujuan memadam suara rakyat untuk bersuara berhubung pelbagai isu yang melibatkan aktiviti rasuah dan peningkatan harga barang yang ternyata membebankan rakyat.

“Sekarang kita hadapi ujian yang pelbagai cara menindas dan memeras untuk memadamkan kerakusan, rasuah supaya kita tidak berbicara mengenai kekayaan berbilion ringgit Ketua Menteri, supaya kita lupa tanah Melayu sungai besi dipindahkan kepada kroni semata-mata baik dengan Najib dan Rosmah. Untuk memadam ini semua, mereka terus menyerang kita,” katanya.

Anwar turut melaungkan keyakinan pada pilihanraya Negeri Sarawak pada 16 April depan bakal menunjukkan perubahan kebangkitan rakyat dan menjanjikan kejutan.

“Saya yakin rakyat akan bangkit. Lihat dia cuba pecah belahkan kita di Sarawak. InsyaAllah Sarawak akan berikan kejutan pada pilihanraya akan datang," katanya lagi.

Anwar juga mengingatkan rakyat supaya mempertahankan maruah diri supaya tidak mudah tergadai di tangan pihak-pihak yang menindas dan memerintah secara zalim.

“Saudara yakin maruah kita tidak boleh dibeli oleh sesiapa. Kita beritahu pemimpin Umno yang rasuah dan sombong, kami ada jiwa. Jiwa kami merdeka. Kami ada maruah dan kami akan pertahankan maruah dan jiwa kami yang merdeka," katanya-TVSNews.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...